Rayuan pengampunan Najib: UMNO mohon atas dasar simpati

Iklan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - UMNO tidak berniat mendesak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, susulan rayuan pengampunan penuh ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan itu dibuat atas dasar bersimpati dan berharap ia mendapat pertimbangan yang sewajarnya.

Iklan
Iklan

"Kita tidak berhasrat mendesak tetapi kita mohon agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar dapat mempertimbangkan rayuan daripada UMNO.

"Kita amat bersimpati dan kita doakan beliau diberi kekuatan serta berdoa lagar embaga pengampunan dapat beri pertimbangan (kepada rayuan)," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Jumaat.

Iklan

Majlis Kerja Tertinggi UMNO hari ini memohon pertimbangan agar Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh kepada Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Rayuan tersebut dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.

Iklan

Sementara itu, Ahmad Zahid juga mengesahkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 akan diadakan awal, iaitu pada 7 hingga 10 Jun depan, bagi membolehkan persiapan pilihan raya negeri dilakukan.

"(Tarikh) 7, 8, 9 dan 10 Jun, kita akan adakan perhimpunan agung. Kita buat awal sebab selepas itu kita akan turun ke negeri-negeri untuk berkempen dan menggerakkan jentera bagi pilihan raya di enam buah negeri," katanya. - Awani