Elak raya 'mengejut' seperti tahun lepas

Iklan
Orang ramai khususnya umat Islam di negara ini disaran mengambil langkah berjaga-jaga membuat persediaan awal supaya tidak kalut sekiranya situasi sama pada tahun lepas berulang semula.

SHAH ALAM - Memikirkan kembali pengalaman tahun lalu, rakyat masih lagi trauma dengan raya 'mengejut' yang telah menyebabkan panik dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Sebelum ini, sambutan Aidilfitri bagi negeri seluruh Malaysia tahun lalu dijangkakan pada 3 Mei bersamaan Selasa.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Daniel Syed Ahmad menerusi siaran langsung khas, mengumumkan bahawa tarikhAidilfitri adalah pada Isnin, 2 Mei.

Susulan itu, orang ramai menjadi kelam kabut kerana rata-rata belum sempat membuat persiapan bagi menyambut hari raya pada tahun itu.

Iklan

Terkini, ramalan Hari Raya Aidilfitri untuk kali ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan orang ramai dan beranggapan sejarah 'raya mengejut' akan berulang pada tahun ini.

Pada Jumaat, Portal Gulf News melaporkan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.

Iklan

Bagaimanapun, menurut laporan itu beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.

Laporan itu juga memaklumkan kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan Syawal pada 21 April (Jumaat) sebagai hari pertama Aidilfitri.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan ramalan 1 Syawal yang dijangka pada hari Jumaat, 21 April oleh Pusat Astronomi Antarabangsa UAE akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Mohd Na'im berkata, perbincangan perlu dibuat bagi memastikan raya Aidilfitri ‘mengejut’ seperti tahun lalu tidak berulang lagi pada tahun ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya persediaan yang perlu dilakukan umat Islam untuk berdepan sebarang kemungkinan, Mohd Na'im meminta umat Islam agar bersabar kerana penentuan tarikh hari raya terletak kepada kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Apa yang penting, situasi pada tahun lepas tidak mustahil akan terjadi lagi pada tahun ini.

Justeru, disarankan supaya orang ramai khususnya umat Islam di negara ini mengambil langkah berjaga-jaga membuat persediaan awal supaya tidak kalut sekiranya situasi sama pada tahun lepas berulang semula.

Sebaiknya peristiwa tahun lalu perlu dijadikan sebagai pengajaran dan masyarakat digalakkan supaya menguruskan masa yang ada dengan sebaiknya dalam membuat persiapan, bukannya menunggu hingga saat-saat akhir baru hendak bertindak.