KEMERIAHAN Ramadan serta Syawal, 40 anak yatim dan asnaf lebih bermakna apabila diraikan dengan pembelian baju raya dan majlis berbuka puasa anjuran Harps Holdings Berhad dengan kerjasama Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).
Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, program itu merupakan kesinambungan tradisi sebelum ini dengan kerjasama penaja utama skuad ragbi negara tersebut.
"Program santuni anak-anak yatim dan asnaf telah dianjurkan sejak tahun lalu lagi oleh Harps Holdings Berhad yang merupakan penaja utama Kesatuan Ragbi Malaysia.
"Pada tahun ini Harps Holdings Berhad mengambil inisiatif untuk menjayakan program ini bersama - sama Kesatuan Ragbi Malaysia sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat," katanya pada majlis yang berlangsung di sebuah restoran di Teluk Intan.
Tambah Shahrul Zaman, KRM dan Harps Holdings Berhad berharap sumbangan itu dapat memberi keceriaan kepada golongan tersebut dalam menyambut Aidilfitri tahun ini.
Jelasnya lagi, program turun padang sedemikian juga secara tidak langsung mendekatkan lagi dua entiti itu dengan golongan kurang bernasib baik.
"Hubungan baik antara Kesatuan Ragbi Malaysia bersama Harps Holdings Berhad akan terus diperkukuhkan lagi bagi menyokong sebarang aktiviti bersama," katanya.
Dalam majlis itu, wakil Harps Holdings Berhad yang juga Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohamad Hisham Mohd Taufek bersama Shahrul Zaman turut memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan asnaf.
Hadir sama Setiausaha Agung Kehormat KRM, Amrul Hazarin Hamidon dan Pengarah Pembangunan KRM, Mohd Khairulnizam Mohd Isa serta pegawai Harps Holdings Berhad.