SHAH ALAM - Pendakwah dan penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus membidas tindakan netizen yang ‘masuk campur’ dalam urusan penetapan Hari Raya Aidilfitri sehingga bertindak seolah-olah seperti mufti.
Ia susulan kenyataan dibuat pihak tertentu sebelum ini mengenai tarikh hari raya sehingga menimbulkan spekulasi dan kebimbangan dalam kalangan warga maya berhubung situasi raya mengejut yang mungkin berulang sebagaimana berlaku pada tahun lalu.
Menerusi perkongsian video berdurasi 7 minit 59 saat di laman YouTube rasminya, Azhar menjelaskan, penentuan kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).
"Raya ini dengan nampak anak bulan bukan buat kalendar awal-awal. Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki kena ikut rukyah, kena tengok anak bulan sama ada ke tidak.
"Nabi kata muliakan puasa jika nampak anak bulan Ramadan, mula berhari raya jika nampak anak bulan Syawal. Kamu siapa nak ulas-ulas? Ini masalah tidak sedar diri.
"Agama ikut kamu atau kamu ikut agama. Kalau nak ikut agama hendaklah kamu tengok pada 29 Ramadan. Kalau 29 Ramadan itu nampak anak bulan, esok tak ada 30 Ramadan, sudah 1 Syawal jadi raya mengejut,” katanya.
Pada Jumaat, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.
Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.
Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.
Sementara itu, Azhar mendakwa ramai netizen yang mahu tarikh hari raya ditetapkan awal bagi mengelakkan kesukaran dalam menghadapi raya mengejut termasuk tidak sempat menyiapkan tempahan kuih raya.
"Jadi raya selama ni kena tengok kuih kamu ke macam mana? Raya mengejut ini apabila nampak anak bulan.
"Kalau tak nampak (anak bulan) tak mengejut, lusa raya," katanya.