Remaja patah tulang 29 kali tidak sabar berjalan semula

Iklan
Putri Nur Damia Danisha Abdullah menaruh harapan untuk berjalan semula.

ALOR SETAR - Seorang remaja perempuan yang menghidap penyakit tulang rapuh atau ‘Osteogenesis Imperfecta Type III’ tidak sabar berjalan semula apabila kos menjalani pembedahan tulangnya dianggarkan berjumlah RM48,000 yang dikumpul hampir mencukupi.

Putri Nur Damia Danisha Abdullah, 14, yang sebelum ini pernah tujuh kali terjatuh dan menderita patah tulang sebanyak 29 kali dijadualkan bertemu pakar tulang di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk membincangkan tarikh pembedahan pada Mei.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembedahan tersebut yang sepatutnya dilakukan pada 31 Januari lalu ditunda disebabkan kos yang dikumpul untuk membiayai kos pembedahan tersebut belum mencukupi.

"Saya rasa sangat gembira, tidak sabar untuk berjalan kembali. Bulan Januari lalu sudah tetap tarikh untuk pembedahan tapi tidak dapat buat lagi sebab dana belum cukup.

Iklan

"Saya ingat dah boleh berjalan raya ini tapi tidak apa, raya tahun depan mungkin dah boleh berjalan semula," katanya ketika ditemui di rumah neneknya, Mariam Md Isa, 67 di Taman Aman, dekat sini pada Sabtu.

Putri Nur Damia Danisha berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengarah Bank Simpanan Nasional (BSN) negeri Kedah/Perlis, Zamri Ngah yang tampil menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat sebanyak RM8,000 bagi membantu usaha mengumpul dana kos pembedahan kaki remaja tersebut.

Zamri (dua dari kanan) bersama rombongan BSN menyerahkan sumbangan CSR kepada Putri Nur Damia Danisha di Taman Aman, Alor Setar pada Sabtu.

Iklan

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Merah itu bersyukur kerana dengan bantuan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan hebahan media berjaya membantunya mengumpul dana diperlukan.

Menurutnya, kali terakhir dia berjalan adalah kira-kira tiga tahun lalu dan kini doktor tidak lagi membenarkannya berjalan selepas besi yang dimasukkan semasa berusia lima tahun bengkok akibat terjatuh.

"Doktor cakap 11 Mei ini perbincangan tarikh pembedahan akan dilakukan. Sebulan sebelum pembedahan dilakukan kena cucuk ubat dulu untuk kuatkan tulang baru boleh buat pembedahan. Takut jadi macam dulu, tak boleh buat sebab tulang hancur.

Putri Nur Damia Danisha yang kini bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda untuk bergerak kehilangan ibu, Noor Amiza Badaruddin, 39, yang meninggal dunia akibat kanser payudara dua tahun.

Dia bersama adik lelaki yang berusia lima tahun kini tinggal bersama nenek sebelah arwah ibunya yang membantu menguruskan rawatan dan pembedahan akan dilakukan di HPP.

Sementara itu, Zamri semasa ditemui berkata, BSN tampil untuk membantu meringankan beban keluarga Putri Nur Damia Danisha dengan mengumpul dana pembedahan diperlukan agar remaja tersebut dapat berjalan semula.

"BSN akan menyumbang RM8,000 bagi membantu mengumpul dana, Putri juga adalah pemegang akaun simpanan BSN," ujar Zamri.