'Lantikan ini besar maknanya, penuh tanggungjawab' - Agong

Iklan
Al Sultan Abdullah (dua dari kiri) berkenan menyampaikan watikah hakim syarie kepada Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab (kanan) pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Dan Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama

GEORGETOWN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Hakim Syarie perlu menggalas tugas serta peranan mereka dengan penuh tanggungjawab, dan pelantikan mereka ke jawatan itu merupakan satu amanah untuk menguruskan pentadbiran Agama Islam di negeri itu.

Dalam titah Seri Paduka Baginda, Al-Sultan Abdullah berharap pelantikan itu dapat sedikit sebanyak memberi semangat kepada yang berkenaan, untuk meneruskan dan menegakkan syariat Islam dengan sempurna.

Iklan
Iklan

"Beta bangga dapat menganugerahkan watikah pelantikan kepada ahli-ahli MAINPP dan Hakim-hakim Syarie. Di sini beta ingin ingatkan bahawa lantikan ini adalah besar maknanya dengan penuh tanggungjawab dan amanah dari ALLAH untuk kita uruskan pentadbiran agama Islam.

"Beta kagum dengan pentadbiran urusan agama Islam di Pulau Pinang yang diuruskan dengan baik di bawah naungan Majlis Agama Islam Pulau Pinang di bawah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang,” titah Seri Paduka.

Iklan

Seri Paduka Baginda hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 15 ahli MAINPP dan 17 Hakim Syarie di sebuah hotel di sini bersempena lawatan selama tiga hari ke negeri ini.

Turut hadir menyaksikan majlis pengurniaan itu adalah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Iklan

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti kerajaan negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor disusuli ucapan sembah menjunjung kasih oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Mengetuai penerima ahli MAINPP adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua MAINPP, diikuti Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Roslan Ahmad dan Ketua Setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Antara penerima watikah pelantikan Hakim Syarie termasuk Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab, Datuk Mohd Amran Mat Zain dan Datuk Mohd Syukor Sahabudin.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka berkenan menerima cendera kenangan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang. - Bernama