KOTA BHARU - Seorang tukang jahit orang kurang upaya (OKU) mengaku menjadi pengemis beberapa tahun lalu kerana sukar mencari rezeki untuk menambah pendapatannya.
Pengemis berusia 74 tahun yang tinggal di Kampung Gerung, Palekbang, Tumpat itu mendakwa kudung paha kanan dan kedua-dua tangan sejak lahir selain ada penyakit jantung.
Warga emas yang dikenali sebagai Fatimah itu terpaksa menggunakan kerusi roda yang ditolak menggunakan kaki kiri untuk bergerak.
Dia juga mendakwa tidak pernah berkahwin dan terpaksa menjaga anak saudara yang mengalami sakit mental.
"Sukar bagi saya untuk mencari pendapatan kerana kini ramai yang membeli pakaian siap dan hanya mampu mengemis.
"Saya perlu mencari rezeki untuk membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan, bil air dan elektrik selain makan minum seharian," katanya selepas ditahan dalam Operasi Bersepadu Pengemis pada Sabtu.
Dia yang kerap ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di beberapa lokasi sebelum ini sanggup membayar kos kenderaan sebanyak RM20 dari Tumpat untuk ke Kota Bharu.
Fatimah juga memberitahu, kesemua lapan adik-beradiknya sudah meninggal dunia manakala anak saudara yang lain hanya mampu menjaga diri sendiri dan keluarga.
Fatimah turut mendakwa wang bantuan bulanan JKM sebanyak RM450 yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaannya.
"Saya memperoleh sekitar RM200 untuk tempoh empat jam bermula awal pagi tetapi hanya mengemis setiap Jumaat dan Sabtu," katanya.
Sementara itu, seorang warga Thailand yang dikenali sebagai Sulaihah, 31, buntu selepas ditahan bersama anak perempuannya berusia dua tahun.
Sulaihah yang menyewa di bandar Kota Bharu di sini mendakwa membeli makanan kering dan kerepek dengan individu dan menjualnya di hadapan sebuah bank di bandar sama.
Ibu kepada tiga anak berusia 2 hingga 14 tahun itu datang ke Kelantan dari Narathiwat pada November tahun lalu untuk mencari rezeki.
"Suami saya bekerja sebagai penoreh getah di Narathiwat dan pendapatan kami tidak mencukupi kerana dua anak masih bersekolah.
"Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika ini dan hanya berserah kepada ALLAH SWT," katanya.
Fatimah dan Sulaihah merupakan antara 15 pengemis yang ditahan dalam operasi JKM bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen di sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian.
Fatimah dihantar ke Rumah Seri Kenangan, Pengkalan Chepa berikutan kes berulang manakala Sulaihah dibawa ke Depo Tahanan Imigresen Kota Bharu.