KUALA LUMPUR - Biarpun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan, ia tidak menjadi penghalang bagi Muhammad Taufik Azman, 22, untuk mendalami ilmu al-Quran.
Meskipun tanpa deria penglihatan, iltizam dan kecekalan beliau mempelajari al-Quran dapat dilihat tatkala jari-jemarinya menelusuri susunan titik-titik al-Quran Braille dengan cekap sambil mengalunkan setiap ayat-ayat suci dengan suara lunak dan merdu.
Minat dan kecintaannya terhadap al-Quran bermula sejak berumur tujuh tahun dan ini sekali gus memberi motivasi kepada dirinya untuk terus mendalami teknik bacaan al-Quran dengan baik.
"Bagi saya setiap bait-bait ayat dalam al-Quran ini membawa mesej yang sangat indah... dan setiap kali saya membacanya ia membuatkan diri saya berasa tenang dan bahagia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di program Mengaji Marathon 2023 di Seri Kembangan dekat sini, pada Sabtu.
"Saya belajar membaca al-Quran Braille sejak berusia tujuh tahun ketika mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru... di situ saya dibimbing untuk memahami setiap maksud titik Braille itu,” katanya.
Mengaji Marathon 2023 adalah program bacaan al-Quran selama 12 jam tanpa henti sempena Nuzul Quran yang disertai artis dan anak muda anjuran institusi pendidikan dalam talian, MCPLUS.
Menurut Muhammad Taufik, selepas lima tahun mendalami pengajian al-Quran, atas dorongan guru dan rakannya, beliau memberanikan diri untuk menyertai pertandingan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat negeri Johor dan kebangsaan.
"Pencapaian terbaik saya adalah mewakili negeri Johor pada Majlis Tilawah al-Quran Braille (MTQB) Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) tahun lepas,” katanya.
Penuntut jurusan pengurusan pejabat di Pusat Latihan Gurney Bagi Orang Buta, Kuala Lumpur ini menanam impian ingin menjadi qari yang mewakili negara di pentas antarabangsa suatu hari nanti.
"Saya ingin buktikan, biarpun terdapat kekurangan fizikal pada diri ini namun ia tidak mustahil untuk saya bersaing dengan mereka yang lebih sempurna,” katanya. - Bernama