Perak ingatkan PBT, pihak terlibat mudahkan urusan pelaburan

Iklan
Saarani (depan, tengah) bersama penerima terpilih pada Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama di Pusat Pakaian Hari-Hari Cawangan Kamunting pada Sabtu. - Foto Bernama

TAIPING - Kerajaan negeri Perak mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka yang terlibat supaya mempermudahkan urusan pelaburan di negeri ini, susulan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar negeri terlibat mempercepatkan proses berkaitan pelaburan syarikat gergasi China.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua pihak terbabit sering diingatkan mengenai piagam pelanggan dalam mesyuarat Exco dan jawatankuasa pelaburan termasuk menerusi syarahan oleh beliau berkaitan Perak Sejahtera 2030.

Iklan
Iklan

"Apabila pelabur masuk, mereka melabur banyak jadi dia kena masuk secepat mungkin untuk mendapatkan pulangan dan keuntungan.

"Jadi ada beberapa contoh yang kita ambil kira, yang pertamanya mereka memerlukan bekalan air mencukupi dan telah diberitahu dalam mesyuarat pembangunan air supaya Lembaga Air Perak (LAP) melihat perkara ini dan terlibat secara proaktif.

Iklan

"Mereka hendak bekalan elektrik yang mencukupi jadi Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga kita sudah ingatkan supaya sedia membantu termasuk PBT berkaitan lesen perniagaan dan juga beberapa peraturan PBT untuk membolehkan mereka beroperasi dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Meriah Beraya Sejahtera peringkat negeri di sebuah gedung pakaian di Kamunting di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed.

Saarani berkata, bidang automotif, Proton Geely di Proton City antara bentuk pelaburan terbesar selain perusahaan sarung tangan di negeri ini.

Rabu lepas, Anwar dilaporkan berkata, negeri yang terlibat dengan projek pelaburan dari China diminta mempercepatkan proses berkaitan kemasukan pelaburan itu di negeri masing-masing.

Perdana Menteri berkata, projek pelaburan dari China melibatkan syarikat Zhejiang Geely Holding Group (Geely) dan Rongsheng Petrochemical Co, dijangka dapat dimulakan selewat-lewatnya Mei ini.

Projek pelaburan Geely adalah di Pahang dan Tanjung Malim, Perak manakala Rongsheng di Pengerang, Johor dan Terengganu.

Terdahulu, seramai 9,000 orang termasuk anak yatim dan kanak-kanak miskin menerima bantuan pakaian hari raya berupa baucar bernilai RM150. - Bernama