Sanggup ‘ponteng’ sekolah demi al-Quran

Iklan
Umar AlFaruq (kanan) dan Hamim Azwar masing-masing bersyukur mendapat ijazah sanad pada konvensyen yang berakhir, semalam.

KOTA BHARU - Seorang murid darjah 5 dari Negeri Sembilan sanggup ‘ponteng’ sekolah semata-mata mahu mendalami ilmu al-Quran di Kelantan.

Hamim Azwar Zamzuri, 11, yang juga murid Sekolah Kebangsaan Tasik Jaya, Seremban berada di negeri ini selama lima hari bagi mengikuti Konvensyen Al-Quran Al-Karim Peringkat Antarabangsa yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC) sejak Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Anak bongsu daripada enam beradik itu juga adalah peserta termuda konvensyen melibatkan 230 orang penyertaan dari Indonesia, Mesir, Singapura, Kemboja, Myanmar selain terdapat individu paling tua berusia 80 tahun.

Hamim Azwar berkata, dia bersama ayahnya Zamzuri Abu Bakar, 48, sanggup menempuh perjalanan lebih lapan jam dari Seremban dengan kereta demi mencari keberkatan menyertai program tersebut.

Iklan

"Ini kali pertama saya sertai konvensyen melibatkan tokoh ternama dalam bidang al-Quran dan saya sebenarnya sejak berusia 9 tahun sudah selalu ikut ayah ke kelas agama.

"Biarpun sepanjang lima hari ini belajar menggunakan bahasa Arab tetapi saya dapat faham disebabkan terdapat penterjemah dan saya sendiri sudah menguasai asas tajwid,” katanya.

Iklan

Dia ditemui selepas menerima ijazah sanad tamat belajar Matan Jazariah yang disampaikan tokoh besar al-Quran dari Mesir, Syeikh Dr Ahmed Isa Hasan Al-Ma'sarawi di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi peserta muda dari Indonesia, Umar Alfaruq Muhamad Ikhwan, 12, berkata, pengalaman menyertai konvensyen tersebut sangat berharga kerana dapat berguru dengan Syeikh Dr Ahmed Isa Hasan Al-Ma'sarawi.

"Ini kali kedua saya sertainya dan sangat gembira kerana dapat berguru dengan idola saya sendiri, Syeikh Hesyam Abdelbary Mohamed Rageh yang membentangkan Matan Jazariah,” katanya.

Anak bongsu lima beradik kelahiran Makasar itu sebelum ini pernah menyertai Majlis Tilawah Antarabangsa Tijan Annur di Qatar dua tahun lalu dan berjaya menduduki tempat ke-16 daripada 50 peserta terbaik.

Sementara itu, menerusi konvensyen tersebut peserta diajar berpandukan kitab lama Matan Jazariah, mengandungi 109 bait syair tajwid yang perlu dihafal.

Penutup konvensyen disempurnakan Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Dr Md Yusnan Yusof.