SHAH ALAM - Bazar Ramadan Platform Selangor (PLATS) 2023 yang disediakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bertujuan membantu para peniaga mempromosikan jualan sepanjang Ramadan.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, program berkenaan menyasarkan peniaga bazar Ramadan sekitar Selangor yang telah mendapat permit perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau penganjur bazar Ramadan terpilih.
"Platform PLATS bermula dengan Bazar Ramadan Digital PLATS di laman sesawang dengan penyenaraian peniaga-peniaga bazar dalam direktori.
"Program ini dilaksanakan sebagai galakan kepada peniaga bazar Ramadan di Selangor untuk mempelbagaikan saluran pemasaran termasuk menerusi platform digital PLATS.
"Program pertama kali MBI yang mengembleng kekuatan platform PLATS turut bertujuan bantu para peniaga yang sebelum ini tiada permit perniagaan menjalani sesi pemutihan untuk dapatkan lesen operasi di bazar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Khatam al-Quran 2.0 di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad Azri memaklumkan, MBI akan mengedarkan sebanyak 10,000 kupon Rahmah PLATS bernilai RM5 di lima lokasi bazar Ramadan terpilih dalam usaha menyokong transaksi perniagaan secara atas talian.
Beliau berkata, pengagihan kupon tersebut merupakan tanda sokongan agensi itu dalam transformasi perniagaan digital selain meringankan beban rakyat untuk mendapatkan juadah berbuka puasa di bazar Ramadan sekitar Selangor.
"Lokasi pertama telah di jalankan di Bazar Hijrah Seksyen 7 (Shah Alam) diikuti bazar USJ 4 di bawah MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) manakala lokasi seterusnya boleh disemak menerusi media sosial PLATS dari masa ke masa.
"Kupon ini merupakan usaha CSR (tanggungjawab sosial korporat) kita untuk memberi galakan kepada peniaga menyertai inisiatif PLATS dan menguna pakai laman sesawang PLATS,” ujarnya.
Orang ramai boleh layari laman sesawang www.platselangor.com atau hubungi talian 016-212 8449 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai PLATS.