GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United meneruskan rentak kemenangan selepas menjinakkan Everton, 2-0 dalam perlawanan di Stadium Old Trafford pada Sabtu.
Ini kemenangan kedua berturut-turut The Red Devils yang menewaskan Brentford 1-0 pada 6 April lalu selepas dikejutkan kekalahan 0-2 kepada Newcastle United sebelum itu.
Tuan rumah memimpin separuh masa pertama menerusi jaringan yang dijelmakan Scott McTominay pada minit ke-36 selepas menterjemahkan bantuan gol daripada Jadon Sancho.
Percaturan taktikal Ten Hag memasukkan Anthony Martial pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil buat tuan rumah.
Pemain Perancis itu meledak jaringan pada minit ke-71 selepas menyudahkan sentuhan Marcus Rashford.
Tiga mata di bumi sendiri itu membolehkan skuad asuhan Erik Ten Hag mengumpul 56 mata selepas mengharungi 29 perlawanan.
Kemenangan ke-17 musim ini itu secara tidak langsung mencerahkan impian Red Devils untuk kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara pada musim depan.
Sebagai rekod, Manchester United akan berdepan kelab La Liga Sepanyol, Sevilla dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa di Stadium Old Trafford pada 14 April depan.