PM tidak mahu bermusuh dengan negara kuasa besar

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (belakang, dua, kiri) dan rakan sejawatannya dari China, Li Qian (belakang, dua, kanan) menyaksikan pertukaran MoU baru-baru ini. - Foto Bernama. Gambar kecil dari kiri: Chean Chung, Ahmad Marthada)

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak mahu menjadikan Malaysia sebagai musuh negara kuasa besar apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia terbuka untuk berunding berhubung tuntutan bertindih China di Laut China Selatan.

Pakar Hubungan Antarabangsa, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, justeru itu tidak sepatutnya timbul persepsi bahawa kenyataan Anwar itu tidak bertanggungjawab dan menggadai maruah serta kedaulatan negara.

Iklan
Iklan

"Bagi saya Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan itu kerana tidak mahu Malaysia jadi musuh negara kuasa besar seperti China. Ini kerana isu perairan Laut China Selatan sehingga kini masih menjadi pertikaian dengan China termasuk membabitkan kawasan Kepulauan Spratly.

"Sekiranya pertikaian ini terus berlanjutan ia tidak akan mencapai apa-apa kesudahan jadi Perdana Menteri melihat lebih elok diadakan rundingan supaya dapat wujudkan situasi menang-menang antara Malaysia dan China,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada menegaskan, pada pandangan beliau, meja perundingan adalah satu kaedah yang terbaik kerana dalam masa yang sama, Malaysia boleh mengutarakan tuntutan negara serta boleh menjaga hubungan baik dengan negara China.

"Kalau kita berterusan cuba memperjuangkan pertikaian ini seperti dengan membawanya ke mahkamah antarabangsa, ia tidak akan dapat mencapai satu persetujuan atau penyelesaian secara keseluruhan kerana China juga sudah pasti tidak berpuas hati kerana mereka juga menuntut pulau tersebut dan mereka juga menyatakan bahawa mereka ada hak ke atasnya.

Iklan

"Kita juga perlu ingat bahawa bukan hanya Malaysia yang menuntut pulau terbabit bahkan Vietnam, Indonesia, Singapura juga menuntut. Jadi banyak negara yang bertelagah tentang Kepulauan Spratly dan kawasan di Laut China Selatan ini,” tegasnya.

Seakan mahu Malaysia wujudkan ketegangan serantau

Sementara itu, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keterbukaan kerajaan untuk berunding mengenai tuntutan bertindih di Laut China Selatan seakan mahu Malaysia wujudkan ketegangan serantau.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berkata, sikap kesediaan Malaysia untuk berunding melambangkan prinsip dalam menjamin ASEAN kekal sebagai zon bebas dan berkecuali.

"Ini juga disebut oleh Muhyiddin sendiri sewaktu jadi PM. Beliau berkata segala pertikaian di Laut China Selatan perlu ditangani secara aman dan konstruktif.

"Jadi adakah kenyataan Muhyiddin bercadang kita harus mewujudkan ketegangan serantau sehingga menjejaskan keselamatan, kestabilan dan keamanan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.