PASIR PUTEH - Perikatan Nasional (PN) menyifatkan usaha Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai desakan politik.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun perkara tersebut terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu mempertimbangkan atau sebaliknya berhubung permohonan itu.
"Isu ini (memohon pengampunan) ada proses dan prosedur tertentu. Setahu saya siapa yang boleh memohon, namun dia (UMNO) menggunakan desakan politik," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat khas bersama kepimpinan PN Kelantan di sini pada Sabtu.
Hadir sama ialah Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor dan barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pengesahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam proses penilaian permohonan Lembaga Pengampunan itu.
"Saya tidak boleh komen kerana perkara itu bersandarkan perlembagaan undang-undang,” katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, MKT UMNO telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan bagi bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO yang berlangsung pada Jumaat.