Wartawan masih barisan hadapan pelapor maklumat

Iklan
Kepentingan wartawan profesional dan media arus perdana sebagai mata dan telinga rakyat tidak boleh disangkal terutama dalam era digital.

KUALA LUMPUR - Kepentingan wartawan profesional dan media arus perdana sebagai mata dan telinga rakyat tidak boleh disangkal terutama dalam era digital apabila sesiapa pun boleh menjadi penyampai maklumat dengan hanya berbekalkan telefon pintar.

Bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang bakal disambut bulan depan, kelab-kelab media melihat tugas wartawan kini berdepan satu lagi cabaran dengan kewujudan citizen journalist atau wartawan warga yang menyebarkan maklumat mengenai sesuatu kejadian di media-media sosial untuk tatapan umum tanpa asas kewartawanan.

Iklan
Iklan

Presiden Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor (KamiKLS), Wan Syamsul Amly Wan Seadey berkata, kepesatan teknologi digital membolehkan maklumat dikongsi dan disiar sesiapa sahaja sekali gus memungkinkan berita palsu dan fitnah disebar luas sehingga mampu menggugat keharmonian masyarakat terutamanya yang menyentuh isu kaum dan keselamatan.

"Sebahagian (yang disebar) adalah berita palsu dan fitnah yang memerlukan wartawan untuk membuat pengesahan bagi menghilangkan keresahan masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Senada dengan Wan Syamsul Amly, Presiden Kelab Media Putrajaya (KMP), Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin berkata, sesuatu maklumat atau laporan berita tidak sahih yang sering ditularkan di platform atau aplikasi media sosial menuntut pengamal media menjadi ‘ejen penangkis berita palsu’.

"Justeru, apa yang membezakan pengamal media dengan ‘wartawan jadian’ adalah etika kewartawanan iaitu melaporkan fakta benar, tepat dan saksama dalam usaha pembinaan negara bangsa, tidak mencetuskan prasangka buruk mahupun tuduhan tidak berasas serta berpegang teguh kepada undang-undang sepanjang menjalankan tugas,” katanya.

Iklan

Presiden Kelab Media Elite Kedah (KMEK), Adie Suri Zulkeflli berkata, organisasi media berfungsi menjadi platform yang mengetengahkan suara rakyat secara objektif, selari dengan peranan sebagai the fourth estate atau darjat wartawan selepas legislatif, eksekutif dan kehakiman.

"Pengamal media juga perlu sentiasa proaktif menghasilkan bahan berita yang menyemai budaya pemikiran kritis dalam kalangan masyarakat supaya setiap isu yang diketengahkan dibincang serta dibahas demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Meskipun kekal dengan status quo sebagai barisan hadapan pelapor maklumat, Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak mengakui wartawan dan organisasi media sedia ada di negara ini telah mengubah corak pemberitaan kepada kaedah Kewartawanan Peranti (MoJo) bagi menarik perhatian masyarakat yang mendambakan maklumat dalam masa nyata.

"Kemunculan media sosial telah mengubah corak keperluan pembaca bagi mendapatkan sesuatu maklumat dan hal ini memberikan cabaran kepada profesion kewartawanan dalam bersaing bagi tujuan ini," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Mohd Ishak Abdillah Ngah berkata, HAWANA 2023 yang akan diadakan di Ipoh, Perak pada 27 hingga 29 Mei depan perlu membincangkan secara mendalam cabaran semasa dihadapi wartawan dan media demi masa depan bidang kewartawanan.

Beliau berkata, ini kerana pengamal media juga adalah golongan yang terkesan dengan keadaan ekonomi pada masa ini ekoran peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

HAWANA diadakan sebagai satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kepada pengamal media di Malaysia. - Bernama