JURULATIH Manchester City, Pep Guardiola menganggap Erling Haaland setanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai peledak gol tulen selepas penyerang itu menghasilkan gol ke-44 musim ini.
Pemain antarabangsa Norway itu menyumbat dua gol ketika The Citizens mengalahkan Southampton 4-1 di Stadium St Mary awal pagi Ahad.
Kemenangan itu merapatkan jurang City kepada lima mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.
Haaland sudah meledak 44 kali pada musim pertamanya bersama juara Inggeris itu, termasuk 30 gol dalam 27 penampilan EPL.
Jaringan kedua penyerang berusia 23 tahun itu amat istimewa apabila dia menyempurnakan hantaran lintang Jack Grealish menerusi aksi akrobatik.
"Gol keduanya amat luar biasa. Bukan mudah untuk mendapatkan bola di udara dan mendorongnya ke tanah,” ujar Guardiola.
Grealish turut meledak pada minit ke-58 dan Julian Alvarez juga mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-75 menerusi sepakan penalti, manakala gol saguhati Southampton diperoleh hasil jaringan Sekou Mara.
Jumlah gol Haaland pada musim pertamanya di England itu menyamai rekod jaringan terbanyak bagi satu musim EPL yang dilakukan Ruud van Nistelrooy (2002-03) dan Mohamed Salah (2017-18).
Daripada jumlah tersebut, 30 gol dihasilkan dalam EPL dan Guardiola tidak keberatan untuk memuji penyerang prolifiknya itu dengan meletakkan Haaland sebaris dua legenda bola sepak moden, Messi dan Ronaldo.
"Bakatnya amat bagus. Kami memerlukannya. Separuh masa pertama bukanlah tahap terbaik tetapi kami kemudian mengubah corak permainan dan ia berhasil.
"Sebagai penjaring terbanyak, kita melalui detik yang luar biasa bersama Cristiano Ronaldo serta Lionel Messi dan dia (Haaland) berada di tahap itu,” ujar Guardiola.
The Citizens yang masih berada di landasan untuk memburu tiga kejuaraan musim ini akan berdepan Bayern Munich pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa.