SHAH ALAM - Pusat Borong GM Klang menjalinkan kolaborasi bersama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi memeriahkan penganjuran Jualan Amal Istimewa bersempena Kempen Riooh Raya 2023.
Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai pilihan barangan persiapan Hari Raya Aidilfitri di 19 reruai yang dibuka diruang legar, tingkat bawah kompleks itu bermula 7 hingga 9 April ini.
"GM Klang kebiasaannya memang akan merancang untuk mengadakan program tanggungjawab sosial koporat (CSR) bersempena Ramadan.
"Menerusi jualan amal kali ini, barangan dijual dengan harga istimewa dan promosi menarik yang tidak dapat dibeli di kedai itu sendiri. Misalnya, mungkin di kedai barang tersebut berharga RM20 tetapi di sini kita hanya jual RM10 sahaja.
"Malah, jumlah jualan pada ketiga-tiga hari ini akan diambil sebahagiannya untuk didermakan kepada badan kebajikan yang terpilih,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
"Apa yang penting ialah kita nak beri mereka pengalaman mengendalikan perniagaan bermula dari bawah, bagaimana nak mendekati pelanggan dengan betul dan sebagainya.
"Para peniaga juga tidak lokek untuk membantu dan berkongsi strategi berjual beli dengan pelajar, jadi mereka juga boleh belajar daripada individu yang berpengalaman dalam bidang ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan FKPM, Dr Shifa Faizal berkata, penyertaan pelajar dalam jualan amal berkenaan berupaya menerapkan kemahiran interpersonal dalam diri mereka.
"Ia bukan hanya melibatkan pengiklanan, tetapi juga pemasaran iaitu kita latih pelajar dalam memahami pasaran dan menghasilkan produk yang relevan dengan audien sasaran.
"Ini kerana pelajar kebiasaannya dilatih untuk buat pengiklanan sewaktu kuliah, namun apabila turun padang macam ini, baru mereka tahu dan nampak proses sebenarnya," tambahnya.
Beliau memberitahu, UiTM dan GM Klang sudah lama menjalinkan kolaborasi, namun program kali ini agak istimewa kerana ia melibatkan kutipan dana untuk badan-badan kebajikan sempena bulan sucii ni.
"Kita bukan sahaja nak terapkan ilmu yang diajar di universiti kepada anak-anak muda, tetapi juga mendidik mereka dari segi akhlak dan budi pekerti.
"Jadi apabila diberi kesempatan untuk menyertai program sebegini, mereka akan merasakan bahawa hidup bukan semata-mata untuk berseronok, tetapi perlu juga fikir apa sumbangan kita kepada masyarakat," ujarnya.