'Dapat lepas baju anak pun jadilah'

Iklan
Mohd Jamri mengutamakan persiapan untuk anak terlebih dahulu berbanding diri sendiri sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

TAIPING - Kenaikan harga barang dan keperluan harian menyebabkan ramai ibu bapa memilih untuk bersederhana menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Ini kerana, kebanyakan mereka yang ditemui memilih untuk mengutamakan barang-barang keperluan harian berbanding persiapan hari raya.

Iklan
Iklan

Bagi Mohd Jamri Ismail, 38, yang bekerja di ladang kelapa sawit, keutamaan diberikan kepada anak kerana keseronokan beraya lebih dirasai oleh kanak-kanak.

"Tahun ini sebenarnya saya dan isteri tak kisah pun ada baju raya atau tidak. Saya sediakan untuk anak-anak dahulu. Kalau ada rezeki kami beli baharu, kalau tak ada, pakai apa yang ada.

Iklan

"Raya tahun ini memang nak jimat sebab harga barang semuanya dah naik. Barang-barang keperluan untuk raya pun tak beli lagi, jadi tak kisah pun kalau pakai baju lama," katanya yang tinggal di Batu Kurau kepada Sinar Harian.

Siti Suhaila berjimat-cermat dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Seorang ibu, Siti Suhaila Mohd Zulkifli, 30, turut mempunyai pandangan sama untuk menyediakan persiapan Aidilfitri secara sederhana.

Iklan

"Memang tahun ini agak mahal untuk sediakan semuanya dan beli baju pun di kedai-kedai biasa yang kita tahu harga berpatutan.

"Anak-anak pun tak kisah sebab mereka faham kemampuan keluarga, asalkan dapat baju raya mereka gembira. Mujur juga ada salah seorang dapat bantuan, jadi memang dapat ringankan beban," katanya.

Bagi orang bujang pula, walaupun tidak ada banyak komitmen, perbelanjaan hari raya masih perlu diuruskan dengan baik.

Menurut Muhammad Taufiq Ahmad, 21, peruntukan hari raya tahun ini ditetapkan lebih kurang RM250 untuk membeli pakaian dan kelengkapan lain.

"Harga barangan persiapan raya seperti baju Melayu agak mahal berbanding tahun sebelum ini. Walaupun bagi orang bujang seperti saya lebih pentingkan gaya semasa, harga juga kena tengok dengan kemampuan.

"Tak boleh nak berlebihan sangat sebab banyak lagi keperluan lain yang lebih penting perlu diberi keutamaan," katanya.