MTUC gesa perkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja

Iklan
MTUC gesa kerajaan segera perkenalkan perlindungan keselamatan sosial Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja. - Foto 123RF (Gambar kecil: Mohd Effendy)

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan segera memperkenalkan perlindungan keselamatan sosial Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi melindungi pekerja 24 jam sehari.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, dengan adanya skim itu, pekerja akan sentiasa dilindungi tanpa terikat kepada aktiviti pekerjaan dan penggajian mereka.

Iklan
Iklan

"Skim ini telah lama dinantikan oleh pekerja kerana ia memberikan perlindungan komprehensif kepada mereka yang mengalami kemalangan di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan langsung dengan pekerjaan.

"Pelbagai faedah juga turut disediakan antaranya perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan kemudahan pemulihan fizikal serta vokasional,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Jelas beliau, tuntutan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sering kali ditolak atas sebab kemalangan dialami tidak berkaitan dengan pekerjaan dan tidak diliputi di bawah akta.

"Berdasarkan statistik Perkeso, lebih daripada 26,000 kes tuntutan permohonan faedah Akta 4 telah ditolak sejak tahun 2011 disebabkan kemalangan yang bukan bencana kerja dan kebarangkalian angka ini lebih besar jumlahnya kerana pekerja tidak mengemukakan tuntutan.

Iklan

"Kami menggesa Kerajaan Perpaduan segera melaksanakan SKBBK ini dan meminda akta sedia ada,” katanya.

Tambah Effendy, skim perlindungan ini telah wujud di beberapa negara maju seperti New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada.