KOTA BHARU - Seorang wanita warga Thailand mendakwa terpaksa menjual kerepek dan mengemis untuk mencari perbelanjaan mengubati anak sulungnya yang menghidap celebral palsy (CP).
Wanita berusia 46 tahun itu mendakwa berstatus ibu tunggal kepada dua anak perempuan berusia 18 dan 22 tahun selepas kematian suami lebih sembilan tahun lalu.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Che Gayah, dia datang ke Kelantan minggu lalu untuk mencari rezeki selepas tempat kerjanya di Pattani ditutup sementara.
"Ketika ini saya menyewa sementara di sebuah rumah di bandar ini dengan membawa anak-anak kerana tiada sesiapa yang menjaga mereka," katanya ketika ditemui dalam Operasi Banteras Pengemis di sekitar bandar Kota Bharu.
Wanita itu terkedu selepas kembali ke lokasi dan melihat anaknya menangis dalam keadaan bingung di samping anggota penguat kuasa bertugas.
Bagaimanapun, selepas dipujuk, wanita itu dibawa ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Operasi dilaksanakan bersama pegawai dan anggota penguat kuasa JKM, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Imigresen dan JAHEIK.
Seramai 15 pengemis termasuk tujuh warga Thailand dan tiga kanak-kanak diselamatkan dalam operasi itu.