Selangor edar 10,000 kupon PLATS Rahmah RM5

Iklan
Amirudin mengedarkan kupon PLATS Rahmah kepada pengunjung Bazar Ramadan USJ4 pada Ahad.

SUBANG JAYA - Sebanyak 10,000 kupon Platform Selangor (PLATS) Rahmah diedarkan kepada pengunjung di lima bazar Ramadan terpilih di negeri itu secara berperingkat sebagai membantu peniaga mempromosi produk jualan masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah RM50,000 diperuntukkan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk agihan kupon percuma bernilai RM5 setiap satu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kupon berkenaan mula diedar pada 5 hingga 18 April melibatkan bazar Ramadan Seksyen 7, Shah Alam; USJ4, Subang Jaya; Cyberjaya Park, Sepang; Taman Melawati, Gombak dan Vista Damansara Damai.

"Setiap bazar menerima 2,000 kupon untuk diagihkan kepada pengunjung yang boleh menebusnya melalui pembelian makanan di bazar-bazar terlibat.

Iklan

"Selain itu, semua peniaga turut didaftar di bawah PLATS sebagai mempelbagaikan saluran perniagaan masing-masing," katanya pada Program Agihan Kupon PLATS Rahmah 2023 di Bazar Ramadan USJ4 di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkarnain Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek.

Iklan
Orang awam membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan USJ4 pada Ahad.

Amirudin berkata, sebagai mendukung inisiatif digitalisasi, kerajaan negeri telah menggalakkan pembayaran tanpa tunai atau cashless di bazar berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa kempen lain termasuk larangan penggunaan polistirena dan straw plastik, Kempen Sayangi Bumi Kita (bebas plastik, pelanggan bawa bekas sendiri ke bazar) serta kitar semula minyak terpakai.

"Ia merupakan inisiatif hijau bazar Ramadan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan telah diperluaskan dengan kerjasama syarikat What A Waste yang mana lebihan makanan akan disedekahkan kepada keluarga berpendapatan rendah, komuniti serta rumah kebajikan sekitar Subang Jaya.

"Tahun ini MBSJ menyediakan sebanyak 26 lokasi bazar dengan jumlah keseluruhan 1,570 petak berbanding 1,251 petak pada tahun lepas," katanya.

Amirudin (tiga dari kiri) pada Program Agihan kupon PLATS Rahmah 2023 di Bazar Ramadan USJ4 di sini pada Ahad.

Tambahnya, MBSJ juga telah bekerjasama dengan PLATS melalui latihan dan program Bazar Ramadan MBSJ yang diadakan pada 9 Mac lalu dan peniaga yang mendapat permit bazar layak menyertai Bazar Ramadan Digital PLATS.

Jelasnya, usaha itu membantu peniaga promosi jualan dan menggalakkan penjaja Selangor beralih ke platform digitalisasi.