SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kesempitan hidup akibat ditinggalkan ibu bapa menyebabkan seorang remaja berusia 15 tahun nekad untuk mencuri demi kelangsungan hidup bersama adik-beradiknya.
Peguam, Aminahtul Mardiah Md Nor ketika berkongsikan kisah tersebut di aplikasi media sosial berkata, beliau sedih apabila memikirkan nasib dan masa depan remaja bawah umur terbabit yang terpaksa menjalani kehidupan tanpa bimbingan orang dewasa.
"Setiap kali bulan puasa mesti teringat kisah tersebut kerana ia satu-satunya kes sewaktu menjadi majistret yang membuat suara saya bergetar (tahan sebak).
"Ini kerana pesalah kanak-kanak dalam kes ini berusia 15 tahun, (didapati atas) kesalahan mencuri susu pekat dengan ubat gigi Colgate.
"Bila kita tanya kenapa buat macam begitu, budak itu menyatakan dia terpaksa lakukan kerana emak dan ayah tinggalkan mereka tiga beradik," katanya menerusi aplikasi Tik Tok.
Tambahnya, penderitaan yang ditanggung remaja seusianya untuk mengambil alih peranan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa tidak dapat dibayangkan.
Ujarnya, dengan mempunyai adik bongsu yang sentiasa tidak sihat termasuk menanggung perbelanjaan harian dan persekolahan mereka, secara tak langsung menambahkan lagi bebanan yang tidak patut dipikul sehingga akhirnya mendesak dirinya untuk mencuri.
"Bila nak jatuh hukum kita kena ada laporan akhlak. Memang saya bagi dia bon kelakuan baik tetapi kita lihat latar belakang dia, ibu bapa tinggalkan mereka dan nenek pun tiada.
"Jika kita rasa tidak mampu nak jaga atau besarkan anak-anak, jangan beranak. Sebaiknya rancang keluarga kerana sangat menyakitkan apabila melihat bagaimana mereka ini mahu meneruskan kehidupan.
"Saya berharap masyarakat lebih prihatin dan (sudi) berkongsikan rezeki supaya sedikit sebanyak dapat membantu mengubah kehidupan seseorang," ujarnya.