SIRI jelajah latihan pusat skuad Bawah 17 (B-17) tahun negara di Doha, Qatar yang bermula hari ini hingga 21 April akan menjadi medan mempertajam corak permainan skuad negara menjelang saingan Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand pada Jun.
Pengurus pasukan B-17 negara, Christopher Raj berkata, segala persiapan telah diatur dengan rapi termasuk tiga perlawanan persahabatan di Doha yang sememangnya penting bagi meningkatkan tahap persediaan pemain.
Iklan
Iklan
"Seramai 38 pemain dan pegawai berlepas ke Doha, Qatar Ahad ini selama dua minggu untuk menjalani fasa ketiga latihan pusat yang sudah bermula sejak Januari yang lalu, bagi membolehkan pengendali Osmera Omaro menyediakan skuad terbaik di kejohanan Piala Asia B-17 Jun depan.
"Ini merupakan perancangan kita untuk menambah baik corak permainan bagi menghadapi persaingan sengit dari negara-negara besar Asia yang akan berentap merebut empat slot mewakili pasukan Asia ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Christopher berkata, skuad B-17 negara akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan pilihan Piala Asia B-17, Arab Saudi pada 8 Jun sebelum berlepas ke Bangkok.
Sebagai rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan sasaran tinggi untuk skuad B-17 negara iaitu dapat beraksi buat pertama kali di pentas Piala Dunia B-17 hujung tahun ini, dengan merebut empat tiket automatik mewakili Asia.
Skuad negara yang diletakkan dalam Kumpulan A akan memulakan saingan Piala Asia B-17 berdepan Yemen pada 15 Jun, diikuti menentang tuan rumah Thailand (18 Jun) dan Laos (21 Jun).