Hidupkan semula kempen perangi dadah

Iklan
Saban minggu, media massa tempatan melaporkan kejayaan agensi-agensi penguat kuasa menumpaskan sindiket-sindiket dadah dengan rampasan pelbagai jenis bahan terlarang itu dalam jumlah yang amat besar. - Gambar hiasan

BOLEH dikatakan saban minggu, media massa tempatan melaporkan kejayaan agensi-agensi penguat kuasa menumpaskan sindiket-sindiket dadah dengan rampasan pelbagai jenis bahan terlarang itu dalam jumlah yang amat besar.

Jika dalam tahun 1990-an, rampasan dadah hanya melibatkan nilai yang kecil tetapi kini ia boleh mencecah sehingga ratusan juta seperti kejayaan polis Johor dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik merampas dadah bernilai lebih RM201 juta apabila menumpaskan sindiket dadah terbesar di selatan tanah air pada 2021.

Iklan
Iklan

Dadah yang dirampas itu pula boleh menampung permintaan untuk 11.3 juta penagih.

Sebelum itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menumpaskan sindiket dadah apabila menahan sebuah bot di perairan Pulau Pinang dan merampas 2.19 tan dadah jenis metamphetamine bernilai lebih RM105 juta.

Iklan

Pada 1 April tahun ini, Bukit Aman melaporkan sebanyak 91 sindiket dadah telah ditumpaskan menerusi pelbagai siri serbuan di seluruh negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini sejak Januari lalu. Dalam tempoh itu seramai 256 ahli sindiket termasuk tiga ahli kimia berjaya diberkas dan membongkar tiga buah makmal memproses dadah.

Berdasarkan statistik Bukit Aman itu dapat dibayangkan betapa semakin seriusnya gejala pengedaran dan penagihan dadah di negara ini. Sindiket yang terlibat pula bukan lagi membekal secara kecil-kecilan tapi kebanyakan ada makmal khusus memproses dadah dalam jumlah yang besar bagi memenuhi permintaan ratusan ribu atau jutaan penagih di luar sana.

Iklan

Kewujudan sebegitu banyak sindiket tentunya mencetuskan pula persoalan berapa ramaikah jumlah penagih dadah di negara ini sekarang? Pada awal tahun 1990-an, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menganggarkan jumlah penagih tegar di Malaysia mencecah lebih 500,000 orang.

Pada ketika satu demi satu sindiket dadah ditumpaskan oleh pihak berkuasa, ada dalam kalangan rakyat merasa hairan kenapa tidak ramai pemimpin kerajaan, ahli-ahli politik dan golongan agama di institusi Islam seperti Majlis Agama Negeri yang bersuara bagi melahirkan kebimbangan mereka.

Adakah mereka tidak merasa khuatir bahawa sebahagian besar penagih dadah yang berkeliaran di luar sana terdiri daripada anak-anak muda Melayu beragama Islam.

Parti-parti politik yang ada di negara ini perlu menyedari bahawa penagih kategori tegar mungkin tidak akan keluar mengundi.

Formulanya cukup mudah apabila semakin banyak anak muda yang menagih dadah maka akan semakin kuranglah jumlah pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka.

Mungkin juga pada satu hari nanti, landskap politik di negara ini akan turut berubah jika para pemimpin politik terus alpa dan memandang ringan akan gejala dadah serta masih menganggap tugas memerangi dadah hanya wajar dipikul oleh polis, Maritim Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia.

Dalam berdepan dengan semakin ramai penagih dadah, akan timbul kisah menyedihkan dicetuskan oleh penagih dadah termasuk pembunuhan ke atas ahli keluarga sendiri termasuk bayi. Adakah berita-berita seumpama itu belum cukup menyedarkan pihak berkaitan untuk menggerakkan semula kempen memerangi gejala tersebut.

Seperti mana misi memerangi rasuah, diharapkan kerajaan Pusat di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan kempen memerangi dadah secara serius seperti langkah diambil oleh bekas Presiden Filipina, Dutarte yang tegas dan berani melancarkan perang ke atas pengedar-pengedar dadah ketika mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara tersebut sehingga akhir pemerintahannya.

Misi yang sama wajar dipikul oleh organisasi agama seperti Majlis Agama Islam setiap negeri. Golongan agama perlu kerap turun padang dan menawarkan program berbeza kerana kebanyakan anak muda yang ada ‘naluri liar’ mungkin tidak akan datang mendengar ceramah agama di masjid atau menonton program agama di kaca televisyen.

Sehubungan itu, kita amat mengharapkan kerajaan mengambil inisiatif menghidupkan semula kempen perangi dadah secara serius dan kempen tersebut pula perlu menyeluruh melibatkan semua peringkat dalam masyarakat agar anak-anak muda dapat diselamatkan dari jangkauan sindiket dadah yang durjana.

* Marzuki Yusoff ialah Penyunting di Sinar Harian.