Persediaan hadapi negara menua

Iklan
Malaysia sedang menuju negara tua dengan peratusan sebanyak 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas. - Foto hiasan/123RF

BERDASARKAN statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia sedang menuju negara tua dengan peratusan sebanyak 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Berdasarkan unjuran yang dikeluarkan, Malaysia akan menjadi negara tua menjelang tahun 2030.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, ada beberapa kaedah yang dapat membantu negara mendepani cabaran ini antaranya pembelajaran sepanjang hayat.

Objektif kedua yang telah digariskan dalam Dasar Warga Emas Negara (DWEN) Negara Malaysia telah menekankan tentang kemudahan akses pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas.

Iklan

Bagi merealisasikan objektif ini, warga emas seharusnya melengkapkan dan meningkatkan potensi diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran untuk hidup aktif serta produktif.

Menyedari hakikat ini, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia menjadi perintis dalam memberi peluang pendidikan kepada warga emas untuk mendapatkan pendidikan secara jarak jauh.

Iklan

PPPJJ USM juga telah melahirkan ribuan pelajar dalam pelbagai bidang kerjaya dan meningkatkan potensi diri warga emas. Ia menunjukkan sumbangan terbesar PPPJJ USM dalam membangunkan masyarakat demi kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.

Ada beberapa kaedah yang dapat membantu negara mendepani cabaran negara tua antaranya pembelajaran sepanjang hayat. - Gambar hiasan

PPPJJ USM telah menawarkan program pembelajaran jarak jauh iaitu kaedah pembelajaran yang fleksibel, lengkap dan interaktif dengan mengetengahkan pembelajaran secara kendiri kepada semua dan di mana sahaja.

Selain itu, PPPJJ juga menyediakan perkhidmatan sokongan kepada pelajar terutama warga emas bagi membantu mereka berjaya dalam akademik termasuk kaunseling akademik, perkhidmatan perpustakaan dan akses kepada kemudahan komputer serta mempunyai pelbagai sumber rujukan secara atas talian.

Kaedah ini amat sesuai dan memberi manfaat kepada warga emas kerana ia menawarkan fleksibiliti untuk mereka belajar.

Salah seorang graduan PPPJJ USM berusia 69 tahun yang berjaya menamatkan pengajian tujuh tahun lalu.

Ia amat berguna kepada warga emas terutama kepada mereka yang mempunyai masalah mobiliti atau masalah kesihatan yang menyukarkan mereka untuk menghadiri kelas secara fizikal.

Pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh sebenarnya membolehkan warga emas melibatkan diri dengan teknologi baharu dan membantu mereka untuk terus berhubung dengan masyarakat sekali gus menggalakkan penuaan aktif.

Pembelajaran sepanjang hayat terhadap warga emas juga membolehkan mereka mempelajari kemahiran baharu, menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran kognitif mereka.

Oleh itu, warga emas seharusnya membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka bagi meningkatkan kualiti hidup dan menggalakkan penuaan aktif.

* Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia