GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak perempuan maut di dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong di sini, pada jam 11.15 malam, Ahad.
Difahamkan, selain mangsa, neneknya juga mengalami melecur di tangan namun dilaporkan stabil.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, PKPgB Mohd Shakir Abdullah berkata, mangsa berusia tujuh tahun yang dikenali sebagai G Sri Laavanya ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam bilik tidur berdekatan katil.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.19 malam dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan dua buah rumah (kelas C) yang terletak bersebelahan dengan setiap rumah berkeluasan 50X100 kaki persegi (464 meter persegi). Rumah pertama dianggarkan musnah 80 peratus manakala rumah kedua 50 peratus.
"Maklumat awal diterima daripada orang awam bahawa ada seorang kanak-kanak yang terperangkap di dalam rumah. Apabila kita periksa, memang benar ada mangsa yang terperangkap di dalam rumah pertama namun sudah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kata beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Kita membuat 'size up' memakai pakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap ketika melakukan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan api. Kebakaran dapat dikawal pada jam 12.45 tengah malam dan dipadamkan pada 12.55 tengah malam.
Beliau menambah, seramai 19 anggota termasuk penyelia dan ketua balai dari BBP Paya Terubong dengan bantuan dari BBP Jalan Perak ditugaskan di lokasi kejadian.
"Kita turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) iaitu daripada PBS Bukit Bendera, Bagan Ajam, Perak Lane, Padang Lalang dan Ayer Itam.
"Selain itu, bantuan daripada agensi luar pula melibatkan polis dan Tenaga Nasional Berhad," katanya.
Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa daripada pihak polis.