Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik PNB, Rick Ramli berkata, PNB menyasarkan untuk menjadi perusahaan sifar bersih menjelang 2025.
Menurut beliau, pemasangan pengecas EV melibatkan 18 hartanah di bawah Kumpulan PNB dan dijangka siap penghujung tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengecas Kenderaan Elektrik oleh PNB di sini pada Ahad.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Gentari Green Mobility, Haikal Zubir.
Selain itu kata Rick, Hotel Perdana Kota Bharu dipilih sebagai lokasi pertama di Kelantan pemasangan tiga unit kemudahan itu.
"Ia terdiri daripada pengecas arus ulang-alik (AC) 11 kilowatt (kW) dan 22kW dan satu unit pengecas pantas arus terus (DC) 60kW yang dilengkapi dua titik pengecasan.
Rick memberitahu, PNB bekerjasama dengan syarikat penyelesaian tenaga bersih Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd.
Tambah beliau, pengecas itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Kelantan yang beroperasi 24 jam sehari untuk kemudahan pemandu EV.
Sementara itu, Haikal memberitahu, Gentari akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan di hartanah PNB untuk menyokong keperluan pemandu kenderaan elektrik.