PARA pemain Manchester United perlu bangkit mempamerkan watak sebenar mereka untuk memacu Red Devils dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Kapten United, Harry Maguire menyuarakan kesediaan memainkan peranan yang lebih besar dalam skuad bimbingan Erik Ten Hag itu.
Pemain England dilihat sukar untuk merebut tempat dalam skuad Red Devils musim ini apabila hanya memulakan enam daripada 29 aksi.
Bagaimanapun pemain berusia 30 tahun itu kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk bergandingan dengan Raphael Varane ketika mereka menundukkan Everton 2-0 pada Sabtu.
"Kita tidak akan berjaya dengan hanya 11 pemain," ujar Maguire.
Dengan berbaki sembilan aksi musim ini, kapten United itu mahu setiap pemain memainkan peranan masing-masing sehingga ke penghujung saingan.
"Ini adalah EPL dan kita juga masih bersaing dalam kesemua kejohanan.
"Kami mahu melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan, memenangi trofi dan bersaing di peringkat tertinggi dalam EPL.
"Bagi menjayakannya, anda memerlukan lebih daripada 11 pemain," katanya.
Red Devils akan menanti kunjungan Sevilla bagi perlawanan suku akhir pertama Liga Europa awal pagi Jumaat.
United kemudian akan menentang Brighton & Hove Albion bagi aksi separuh akhir Piala FA pada 23 April ini.