Perjalanan JDT masih jauh

Iklan
Pemain KDAFC, cuba melepasi kawalan pemain JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers.

BIARPUN berjaya mengatasi cabaran daripada pasukan handalan seperti Terengganu FC, Selangor FC, Sabah FC dan terbaharu, Kedah Darul Aman FC (KDAFC), namun pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari enggan mendabik dada dan menyifatkan masih banyak perlawanan yang perlu diharungi skuad kendaliannya itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut Solari, skuad Harimau Selatan itu masih perlu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini jika mahu merealisasikan impian menggenggam trofi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Iklan
Iklan

"Perjalanan kita masih jauh. Ya, kita memang gembira dengan prestasi dan pencapaian kita setakat ini, tetapi ia masih belum menjanjikan apa-apa.

"Kita cuma telah bermain dengan pasukan-pasukan handalan dan menewaskan mereka... lagi pun, kita menghormati setiap pasukan dan bermain pada tahap yang sama.

Iklan

"Oleh itu, amat penting untuk kita terus melakar kemenangan demi kemenangan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Sebelum itu JDT meraih tiga mata berharga apabila menewaskan KDAFC, 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Iklan

Mengulas mengenai kemenangan berkenaan Solari berkata, seperti diramal, aksi berdepan KDAFC sememangnya sukar dan menyaksikan JDT hanya mampu menjaringkan satu gol pada babak pertama.

Bagaimanapun katanya, corak permainan Harimau Selatan itu mulai berubah pada babak kedua dengan menyaksikan lima lagi jaringan terhasil hingga ke wisel penamat.

"Aksi pemain pada separuh masa pertama agak perlahan namun hasil perbincangan pada masa rehat, pemain menggandakan tekanan kepada benteng pelawat dan menyaksikan lima gol dihasilkan.

"Kita seharusnya menjaringkan lebih banyak gol, namun keputusan ini juga sudah cukup memadai,” katanya.

Sementara itu ketika mengulas mengenai prestasi pemain yang beraksi berdepan KDAFC, Solari berkata, kesemuanya telah memberikan aksi terbaik masing-masing bagi membantu kejayaan pasukan.

Malah, Solari turut gembira dengan aksi beberapa pemain muda yang diberikan peluang beraksi pada Ahad.

"JDT merupakan sebuah kelab besar dan kami merancang untuk mengetengahkan lebih ramai pemain-pemain baharu berbakat pada masa hadapan.

"Kami akan pilih mereka (pemain muda), latih mereka dengan sebaik-baiknya kerana mereka inilah yang akan membawa pasukan ini ke tahap lebih tinggi selepas ini,” katanya.