RAMAI dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang tertanya-tanya mengenai insiden gol pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang dibatalkan semasa perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad itu menyaksikan JDT menang besar membelasah KDA FC 6-0.
Skuad Harimau Selatan itu mungkin mendapat satu lagi gol tambahan jika tidak kerana gol Arif Aiman Hanapi yang berpunca daripada gerakan sepakan penalti pada minit ke-68 dibatalkan pengadil.
Fernando Forestieri yang bertanggungjawab mengambil sepakan penalti tersebut tidak menendang terus, sebaliknya melakukan hantaran kepada Arif Aiman yang menyempurnakan gol tersebut.
Namun, pengadil Razlan Joffri Ali tidak membenarkan gol tersebut sebaliknya memberikan sepakan percuma kepada Kedah menyebabkan timbul tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh berkongsi peraturan dan sebab gol tersebut dibatalkan.
"Sekiranya penyepak menjaringkan gol terus dari sepakan penalti, dan pada masa yang sama kesalahan (encroachment) dilakukan oleh rakan penyepak, maka sepakan perlu diambil semula.
"Sekiranya penyepak tidak menjaringkan gol terus dan kesalahan dilakukan oleh rakan penyepak maka sepakan percuma tidak terus akan diberikan kepada pasukan bertahan," kata Subkhiddin menerusi laman Twitternya.
Dalam insiden itu, Arif Aiman melakukan larian lebih awal ke dalam kotak penalti sebelum hantaran dilakukan Forestieri sekali gus menjadi kesalahan dalam peraturan permainan.