KOPERASI Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) mengumumkan agihan dividen sebanyak 55 peratus tahun tahun kewangan berakhir 2022 kepada semua ahlinya yang layak.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, agihan sebanyak itu diberikan selepas merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM84 juta berbanding RM74 juta direkodkan pada tahun 2021.
"Agihan dividen ini akan dibayar oleh Kosmo sebanyak RM30.4 juta dan pembahagian keuntungan unit ladang berjumlah RM30.2 juta,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.
Beliau berkata, berdasarkan perolehan atau hasil sektor perladangan untuk tahun 2022, Kosma mencatatkan hasil pendapatan berjumlah RM237 juta berbanding RM222 juta pada tahun 2021.
Ujarnya, bayaran pendahuluan 10 peratus akan dibayar secara berperingkat bermula 13 April ini kepada 1,430 anggota koperasi membabitkan keuntungan unit ladang sebanyak RM6,500 seunit.
"Selain itu, saya turut menyerahkan sumbangan Kosma berupa van jenazah kepada tiga masjid serta van serba guna kepada sebuah masjid dan sebuah sekolah menengah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy memaklumkan telah menyerahkan cek sumbangan kepada 56 orang penerima.
Katanya, penyerahan ini adalah untuk meringankan beban mereka yang rata-ratanya memerlukan bantuan bagi menampung kos rawatan perubatan selain bantuan-bantuan lain.
"Saya doakan semoga ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan kita semua terutamanya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta kerahmatan," katanya.