NILAI - Panas, sempit dan terpaksa bersesak sehingga lebih 60 orang dalam satu bilik. Itu antara keadaan di sebuah bangunan yang menempatkan 226 warga Bangladesh dan Nepal yang diselamatkan Jabatan Tenaga Kerja dan Sumber Manusia (JTKSM) dalam satu operasi pada petang Isnin.
Lebih menyedihkan apabila kesemua bilik di sebuah bangunan tiga tingkat di Bandar Baru Nilai itu hanya dilengkapi dua atau tiga kipas industri selain tilam nipis dengan kira-kira 20 katil dua tingkat.
Malah kebanyakan warga asing yang berumur 20-an hingga 40-an ketika ditemui pemberita memaklumkan, mereka dibawa masuk oleh majikan daripada sektor pembersihan dan pembuatan sejak 40 hari lalu, namun ada dalam kalangan mereka masih belum bekerja seperti mana yang dijanjikan.
Sobuj Khan, 23, berkata, dia dijanjikan pekerjaan sebagai pencuci di Genting Highland, Pahang namun hampa apabila sehingga kini masih tidak mendapat sebarang pekerjaan
" Keadaan ini menyebabkan keluarga saya di Bangladesh menangis mengenangkan nasib saya di sini," katanya sebak.
Rakannya, Minh Az, 39, berkata, dia sukar tidur malam kerana keadaan bilik terlalu sesak dan panas.
"Saya belum ada kerja, hari-hari tunggu berita daripada majikan, gaji pun tak ada. Situasi ini menyukarkan saya untuk menyara isteri dan dua anak di Bangladesh," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar yang menyertai operasi itu berkata, pihaknya menerima laporan daripada Kedutaan Bangladesh berhubung kes itu dan operasi menyelamatkan kesemua warga asing terlibat dilakukan serta-merta.
"Kita sudah masuk ke rumah transit pekerja asing tadi, amat mendukacitakan apabila kita lihat keadaan mereka yang dibawa dari Bangladesh dan Nepal ini.
"Mereka sampai ke sini (Malaysia) sejak 40 hari lalu dan tidak ditempatkan di mana-mana tempat kerja malah mereka tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai operasi.
Jelasnya, siasatan awal mendapati sebanyak 1,719 kuota pekerja asing diluluskan bagi tiga syarikat pencucian dan satu syarikat pembuatan yang disyaki terbabit merekrut pekerja asing berkenaan.
"Daripada jumlah itu, seramai 608 dibawa masuk untuk sektor pencucian dan 390 untuk pembuatan. Seramai 327 warga asing ini tiada pekerjaan dan ada juga yang diletakkan di sektor yang salah," jelasnya.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, semua pekerja yang berada di rumah transit ini iaitu seramai 226 orang akan ditempatkan di penginapan lebih sesuai yang berdekatan.
"Ini demi kebajikan dan keselamatan pekerja supaya tiada apa-apa insiden tidak diingini berlaku kepada mereka. Kementerian juga akan menukar majikan terhadap 327 pekerja dan lantik majikan lain yang sesuai dan benar-benar memerlukan pekerja asing," katanya.
Justeru, katanya, empat kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 24D Akta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) terhadap empat majikan yang terbabit dalam kes berkenaan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan kes seperti ini selain mengingatkan majikan supaya menyediakan penginapan yang sesuai serta jika ada kekosongan pekerjaan kepada buruh baharu mereka dibawa masuk dalam negara," katanya.