SHAH ALAM - Suasana santai selain dapat beriadah bersama keluarga dan rakan taulan antara sebab orang ramai di sekitar Shah Alam memilih untuk menyertai Iftar ala Madinah @Karangkraf.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Syed Ahmad Fattahuddin Syed Abd Ghani, 23, mengakui peluang untuk berbuka puasa setahun sekali itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencipta kenangan bersama rakan-rakan.
"Masing-masing berjauhan daripada keluarga, jadi konsep iftar sebegini dapat melupakan seketika rindu kami untuk berbuka puasa bersama keluarga.
"Sebab itu kami tak mahu terlepas peluang untuk berbuka setiap hari di Karangkraf," katanya kepada Sinar Harian.
Pekerja syarikat swasta, Mohd Sabhi Yasser Yeop, 39, berkata, sepanjang Ramadan ini sudah lima kali dia berbuka puasa di Karangkraf bersama keluarganya.
"Hari ini saya datang bawa sekali rakan-rakan sebab sudah lama tak berjumpa, lagipun tiga orang anak saya suka berbuka puasa ramai-ramai macam ni, bagi saya baguslah dapat solat berjemaah dengan kemudahan terbaik yang disediakan untuk pengunjung," katanya
Eksekutif kewangan, Wan Noor Suzana Wan Nadhari, 40, pula berpendapat, sudah sampai masanya lebih banyak organisasi atau syarikat lain mencontohi apa yang dilaksanakan Kumpulan Karangkraf.
"Bukan sebab makanan percuma, tapi pengalaman itu, momen bersama keluarga dapat berbuka puasa duduk bersila, beralaskan tikar ia cukup bermakna," katanya yang tinggal di Taman Bukit Bandaraya di sini.
Aidil Mohd Sakri, 24, pula sanggup datang dari Subang untuk bertemu dengan saudara mara dan sahabatnya.
"Memang kami sudah rancang berbuka puasa bersama, tapi tidak ada masa. Hari ini kebetulan semua boleh berbuka bersama, jadi sesuai kita berbuka di Karangkraf sahaja," ujarnya.
Sementara itu, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur Geomatik, Firdaus Ibrahim, 22, memberitahu, dia bersama tujuh rakan serumahnya sudah tiga kali datang berbuka puasa di Karangkraf.
"Orang bujang macam kami ini ringkas sahaja, masing-masing naik motosikal datang kalau hari biasa masing-masing sibuk dengan kelas dan tugasan. Sesekali dapat berbuka puasa bersama itulah nikmatnya," kata Firdaus.