SHAH ALAM - Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) menyifatkan penganjuran program World #QuranHour pada 13 April ini menjadi penggalak atau booster kepada masyarakat untuk terus menyuburkan semangat dan budaya membaca dan bertadabur al-Quran setiap hari.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam JPNS, Shopuan Anuar Ahmad berkata, secara analoginya program World #QuranHour itu sama seperti solat tarawih sebanyak 20 rakaat pada bulan Ramadan ketika ini.
"Sebab apa pada bulan Ramadan adanya solat tarawih sebanyak 20 rakaat? Sebab ia menjadi booster kepada amal ibadah yang dilakukan bulan puasa kerana kita dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadah.
"Maka menerusi program World #QuranHour, ia boleh memberi semangat kepada umat Islam untuk membudayakan amalan membaca al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui di JPNS.
Mengulas lanjut, Shopuan Anuar memberitahu, bagi membudayakan al-Quran dalam kehidupan yang serba mencabar ketika ini, ia menuntut umat Islam terutama golongan muda berbangga kerana memiliki kitab suci yang diturunkan oleh ALLAH SWT.
"Kita kena wujudkan rasa cinta anak muda terhadap al-Quran, kena beri mereka kenal betul-betul al-Quran dan mukjizatnya. Bila mereka rasa beruntung ada al-Quran, baru mereka akan hargai kitab suci ini,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang sokongan Sektor Pendidikan Islam JPNS dalam penganjuran World #QuranHour kali ini, Shopuan Anuar menjelaskan, 941 buah sekolah di Selangor yang keseluruhannya memiliki 900,000 pelajar dan murid akan menyokong dan menyertai program tersebut.
Katanya, penyertaan JPNS dalam World #QuranHour bermula sejak 2020 dan ia disebarkan ke sekolah-sekolah menerusi 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) negeri berkenaan.
Dalam pada itu, menurut Shopuan Anuar, pemilihan Surah Al-Insan yang diangkat bersama tema 'Memanusiakan Manusia' pada World #QuranHour amat tepat kerana ada segelintir manusia ketika ini telah menyimpang jauh daripada tujuan mereka diciptakan.