ISU cemburu dalam perkahwinan sehingga menyebabkan isteri menjadi korban nyawa bukan sahaja menganggu institusi rumah tangga tetapi juga memberi kesan sosial kepada masyarakat.
Cemburu normal bermaksud memberi reaksi terhadap suatu rangsangan atau punca rasional untuk mengaktifkan perasaan itu.
Walaupun ia merupakan perasaan yang sering dialami oleh manusia, namun jika ia menjadi punca korban nyawa maka ia bukanlah sesuatu petanda baik dalam perhubungan.
Perasaan itu tidak normal apabila bertembung dengan pemikiran minda kurang stabil sehingga mendorong seseorang bertindak di luar akal kewarasan.
Isu ini juga menyebabkan individu tersebut mengheret dirinya ke arah sifat lebih negatif sehingga mengakibatkan berlakunya kekasaran fizikal.
Tindakan kurang rasional sehingga mengakibatkan korban nyawa lazimnya terjadi apabila seseorang gagal mengawal diri dan emosi agar dapat memuaskan hati sendiri dengan mengekspresikan perasaan mereka sehingga pasangan menemui ajal.
Lebih parah sekiranya mereka memiliki anak-anak yang sudah tentu akan memberi kesan trauma jangka panjang sekali gus membesar dalam suasana negatif.
Walaupun cemburu menjadi warna dalam perhubungan dan perasaan itu boleh mengajar mengenali pasangan, namun jika ia tidak dikawal maka akan mengakibatkan keganasan fizikal dan mental.
Dalam pada itu, wujud pendapat mengatakan cemburu tanda sayang bukan sepenuhnya benar, kerana perasaan itu menunjukkan individu tersebut tidak bijak dalam menguruskan emosi.
Mereka akan lebih berasa tidak selamat, gusar, kurang percaya sehingga bertindak kasar sekali gus mangsa mula menjauhkan diri daripada orang sekeliling bagi menjaga hati pasangan.
Ia bukan sesuatu petanda baik, sebaliknya akan mengganggu mental pasangan jika mereka terus menzahirkan perasaan cemburu buta tanpa punca jelas.
Selain itu, bagi wanita yang ingin keluar dari situasi itu, mereka perlu lebih yakin agar tidak terus terjebak dengan perhubungan toksik dan situasi persekitaran negatif kerana nyawa tidak ada galang gantinya.
Wanita perlu lebih bijak dan berani berdepan suami yang cemburu buta yang melakukan keganasan fizikal serta mental agar lebih menghargai diri sendiri.
Justeru, perasaan cemburu tidak boleh dielakkan tetapi ia boleh dikawal dengan baik sekiranya diiringi rasa percaya dengan pasangan masing-masing agar hubungan itu lebih positif.
Walaupun cemburu itu boleh menghangatkan hubungan, namun jika tidak dikawal, ia boleh memusnahkan institusi kekeluargaan dan mengakibatkan stigma negatif terhadap hidup berpasangan.