SHAH ALAM - Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters akan berkongsi memupuk kesedaran berkenaan budaya rasuah pada Karnival Pendidikan Sinar Bestari anjuran Kumpulan Karangkraf pada awal Mei depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurhayati Nordin berkata, pendidikan merupakan satu ‘senjata’ yang kuat bagi menghentikan budaya korupsi dan rasuah bermula dari peringkat awal.
"Karnival ini dilihat sebagai salah satu pendidikan tidak formal yang melibatkan kerjasama semua pihak untuk mendalami dan memahami nilai-nilai murni seperti kejujuran, integriti, amanah dan akauntabiliti.
"#RasuahBusters sememangnya menantikan peluang ini untuk terlibat sama dalam memberi pendedahan kepada pengunjung khususnya para pelajar tentang gejala dan kesan rasuah.
"Melalui Karnival Pendidikan Sinar Bestari ini juga, dapat membuka ruang dan peluang kepada kami untuk membantu serta berkolaborasi dengan masyarakat sebagai usaha memerangi gejala tidak bermoral,” katanya.
Beliau berkata, ia adalah masa yang sesuai untuk #RasuahBusters berganding bahu membina benteng diri bersama pengunjung karnival supaya gejala rasuah dapat dibendung bermula sekarang.
Jelasnya lagi, melalui karnival tersebut pendidikan tentang bahaya rasuah dari peringkat akar umbi dapat diberi kepada pengunjung terutama golongan masih bersekolah kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Sambil menyifatkan usaha Kumpulan Karangkraf menganjurkan karnival berkenaan sebagai perkara yang tepat dalam mendidik masyarakat tentang rasuah, Nurhayati menambah, pihaknya bakal merangka pelbagai aktiviti menarik sepanjang karnival berlangsung.
Ujarnya, antara aktiviti-aktiviti itu adalah pameran, teka silang kata, build my town, public signature (wall of integrity), treasure hunt Rasuah Busters, pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun dan pelbagai lagi yang pastinya pengunjung akan menimba lebih banyak ilmu sambil berseronok.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari akan diadakan pada 10 hingga 12 Mei depan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bertempat di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Karnival bertemakan Memacu Pendidikan Generasi Digital ini adalah terbuka kepada semua rakyat yang mahukan keseronokan sambil menimba ilmu.