Pengajaran daripada kes abai ibu bapa

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

DALAM tempoh kurang dari dua minggu, umat Islam bakal menyambut lebaran yang hampir tiba.

Namun, di sebalik kegembiraan menyambut Aidilfitri, usahlah dilupa kedua ibu bapa yang berkorban nyawa melahir dan membesarkan kita.

Iklan
Iklan

Beberapa hari lalu, tular di media sosial perkongsian Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre, Muhammad Yaakub Yusra tentang seorang penghuni wanita di pusat kebajikan di Senawang yang meninggal dunia dalam keadaan kekecewaan apabila anak-anaknya tidak menunaikan janji untuk berbuka puasa bersama.

Ketika lawatan dilakukan ke rumah kebajikan tersebut lebih 10 tahun lalu, Muhammad Yaakub menceritakan, terdapat satu katil kosong yang merupakan milik wanita itu yang baharu sahaja meninggal dunia.

Iklan

Diceritakan kembali oleh kakitangan bertugas, anak kepada wanita tersebut dikatakan telah berjanji menjemput ibu mereka bagi berbuka puasa bersama pada hari ulang tahun kelahiran warga emas tersebut.

Akibat perasaan penuh teruja menghitung hari, ibu tadi bersiap dan mengemas beg seawal 5 pagi menunggu di luar kedatangan anak-anak untuk berbuka puasa bersama.

Iklan

Biarpun dipujuk masih awal, warga emas itu tetap setia menunggu empat anaknya yang kesemuanya bekerjaya dan berjawatan besar.

Penantian sehingga ke petang tanpa penat dan penuh sabar, namun dia kecewa kerana tiada siapa yang muncul sehinggalah azan Maghrib berkumandang.

Disebabkan perasaan terlalu kecewa, wanita itu terus masuk ke bilik dan tidur tanpa menjamah sebarang makanan.

Keesokannya, ketika petugas ingin mengejutkan dari tidur mendapati, wanita itu telahpun meninggal dunia.

Penulis sendiri sebagai seorang anak cukup sedih dan terkilan dengan kisah ini.

Benar ada masanya kita sangat sibuk dengan kerjaya mahupun rumah tangga, namun tidak rugi sekiranya meluangkan lebih masa buat mereka yang telah berkorban nyawa demi melahirkan kita.

Tidak perlu menyediakan keperluan mewah, namun jika tak punya masa, cukuplah sekadar satu panggilan telefon buat pengubat rindu orang tua.

Pengalaman sendiri mengunjungi rumah orang tua di Kedah kira-kira lima tahun lalu memberi satu iktibar kepada penulis.

Salah seorang penghuni berkongsi luahan hati bahawa anak-anaknya lansung tidak menjenguk sebaik sahaja menghantar ibu mereka di rumah kebajikan itu sejak beberapa tahun sebelum itu.

Namun, hasil temu bual lanjut penulis menemui kesimpulan antaranya tiada hubungan baik antara ibu bapa dan anak semasa kecil punca wujudnya jurang antara mereka.

Semasa kecil, anak dipelihara oleh datuk dan nenek disebabkan beberapa faktor antaranya masalah keluarga, bercerai dan kewangan.

Bagaimanapun, sebagai anak, ibu bapa tetap perlu diberi layanan selayaknya serta tanggungjawab yang sepatutnya.

Penulis tertarik dengan saranan Pakar Sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran yang mencadangkan bahawa Malaysia perlu menggubal satu undang-undang khusus bagi melindungi warga emas yang menjadi mangsa ‘lepas tangan’ anak-anak bagi mengekang perbuatan itu.

Kenyataan Mohammad Shatar yang disiarkan menerusi laporan media pada 2021 itu mengandaikan, amat memalukan jika Malaysia sebagai negara majoriti umat Islam dan mengamalkan budaya ketimuran gagal membendung kes pembuangan ibu bapa sehingga terpaksa ditempatkan di rumah kebajikan bagi menghabiskan sisa hidup.

Jelasnya, saluran undang-undang perlu digunakan seperti mengenakan hukuman setimpal, penjara atau denda malah boleh menyenarai hitamkan nama mereka.

Selain itu, sikap memandang remeh atau hina kepada ibu bapa yang dianggap semakin tua semakin tidak berdaya harus dibuang.

Di bulan Ramadan yang mulia ini, elok dijadikan kesempatan untuk bermaafan dan berbaik semula dengan ibu bapa jika ada perselisihan faham.

Akhir sekali, penulis berpendapat, didikan agama sejak kecil serta pendedahan amalan hormat-menghormati orang tua harus dikekalkan dalam kehidupan masyarakat.

Orang kata, hubungan baik antara ibu bapa dan keluarga juga boleh menjadi pencetus kepada kejayaan seseorang individu, semakin akrab hubungan maka semakin murah rezeki, dalam kerjaya dan kehidupan, baharulah sambutan Aidilfitri lebih bermakna diraikan.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Utara