BERCAKAP mengenai bazar Ramadan, Merak Jalanan akui sudah menjadi rutin sebulan berpuasa akan berkunjung ke sana untuk membeli juadah berbuka.
Selalunya Merak Jalanan akan membeli juadah di bazar Ramadan sekitar kawasan perumahan sahaja kerana malas hendak memandu jauh.
Tetapi minggu lepas disebabkan Merak Jalanan mempunyai tugasan luar di Cyberjaya, terasa ingin mencuba juadah yang dijual di bazar bersebelahan dengan Masjid Besi, Putrajaya.
Walaupun jam ketika itu baru menunjukkan pukul 4.30 petang tetapi jalan sekitarnya sudah sesak disebabkan ramai yang memperlahankan kereta untuk mencari parkir.
Memandangkan ramai pengunjung dilihat memarkir kereta di bahu jalan, Merak Jalanan turut membuat keputusan untuk berbuat demikian tanpa memikirkan sebarang risiko.
Tidak dinafikan, banyak pilihan juadah yang disediakan dan pastinya Merak Jalanan menjadi rambang mata.
Sedar tidak sedar hampir satu jam Merak Jalanan berada di bazar tersebut dan ketika berjalan menuju ke kereta, dari jauh Merak Jalanan ternampak kelibat abang trafik sedang meninjau kereta Merak Jalanan.
Seperti yang diduga sebaik sahaja tiba di kereta ‘surat cinta’ sudah terselit di pengelap cermin dan ketika itu abang trafik masih lagi di sisi kereta Merak Jalanan.
Dengan senyum simpul Merak Jalanan terus berkata,"Ala tuan, saya pergi bazar Ramadan pun kena saman ke?”
Jawapan yang diterima,"Bazar Ramadan tetap bazar tetapi parkir ada disediakan kenapa tidak masuk parkir? Sini (bahu jalan) tidak boleh parkir dan ia satu kesalahan.”
Apa-apa pun Merak Jalanan ingin memesan kepada semua agar berhati-hati ketika hendak memarkir kenderaan jangan sampai nanti setiap hari menerima ‘surat cinta’ daripada abang trafik.