Tiada masalah had umur bersara 65 tahun jika wujud keperluan

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - Cadangan melanjutkan had umur bersara daripada 60 kepada 65 tahun bukan satu isu yang harus diperdebatkan sekiranya terdapat keperluan untuk melaksanakannya.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun berkata, ia kerana ada sesetengah individu yang sudah lanjut usia menghadapi masalah kewangan sehingga wujud keperluan melanjutkan tempoh perkhidmatan bagi menyara diri dan keluarga.

Iklan
Iklan

"Semasa pandemik Covid-19, kita mendapati ada dalam kalangan mereka yang terpaksa mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung kos sara hidup.

"Ini menjadikan mereka terpaksa bekerja keras lagi bagi menyeimbangkan kembali caruman yang sudah berkurangan. Ada pula individu yang pekerjaannya menawarkan gaji rendah, maka sudah pasti persaraan awal bukan satu perkara yang tepat.

Iklan

"Namun demikian, kesempatan yang diberikan kita harap tidak mengenepikan rekrut perkhidmatan generasi muda kerana golongan ini juga mempunyai idea dan visi yang lebih baharu dan segar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Hasnul Haniff, setiap organisasi sewajarnya mempunyai keseimbangan jumlah antara golongan tua dan muda kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.

Iklan

Sementara itu, Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pahang, Abdul Aziz Abd Rahman tidak menolak cadangan tersebut sekiranya terdapat faktor yang munasabah.

Namun, khidmat dan kepakaran daripada generasi muda tidak boleh dinafikan memandangkan ia mengambil kira faktor peredaran zaman.

"Dalam politik pun kita sudah lihat banyak parti menampilkan wajah baharu kerana mereka mempunyai idea yang lebih segar dan keterbukaan dengan perkembangan terkini.

"Jadi, saya lihat perkara yang sama juga harus diketengahkan dalam dunia perkhidmatan dan industri,” ujar beliau.