BENTONG - [DIKEMAS KINI] Seorang kelindan maut akibat tersepit selepas lori dinaikinya terbabas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bukit Tinggi di sini pada Selasa.
Mangsa, R Sugunaran, 45, meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu berusia 41 tahun pula mengalami kecederaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.31 pagi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dengan bantuan lima anggota dari pasukan bomba sukarela (PBS) Janda Baik bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Terdapat sebuah lori terbabas dan dua lelaki dewasa cedera serta tersepit di dalam bahagian kepala lori tersebut.
"Pasukan bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat. Pemandu lori berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, mangsa yang juga kelindan pula disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan pemandu lori dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut," katanya.