SHAH ALAM - Bilangan kenderaan dan penumpang dijangka bertambah menjelang sambutan Aidilfitri ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan susulan jangkaan pertambahan kenderaan dan penumpang untuk balik kampung.
"Penugasan trafik telah diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap mana-mana pemandu yang didapati menunggu lama di aras pelepasan dan ketibaan.
Katanya, orang ramai diingatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
"Elakkan menunggu terlalu lama dalam kenderaan, dan bagi pengguna yang meletakkan kenderaan disaran agar menggunakan kemudahan tempat letak kereta disediakan," katanya.
Ujar Imran, kawalan keselamatan turut dipertingkatkan sepanjang tempoh tersebut.
"Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan bagi memastikan urusan orang ramai untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri berjalan lancar," katanya.