KUALA LUMPUR - Sebanyak 8,511 unit barangan tiruan pelbagai jenama bernilai kira-kira RM250,000 dirampas menerusi serbuan di empat premis di Jalan Kenanga, di sini pada Rabu lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan itu hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu.
"Kita turut menahan tiga pekerja warga asing bagi membantu siasatan dan hasil maklumat bekalan pakaian disyaki tiruan itu diperoleh dari luar negara.
"Kesemua stok tersebut adalah untuk jualan kepada orang ramai sempena Aidilfitri," katanya pada sidang akhbar, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, kesemua premis itu didapati turut menjual pakaian tiruan berjenama secara dalam talian kepada pelanggan.
"Kesemua pemborong ini disyaki menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di sekitar Kuala Lumpur serta turut menghantar bekalan kepada peniaga di seluruh Malaysia," katanya.
Ujar Ariffin, empat premis itu dimiliki oleh individu warga tempatan tetapi peniaga sebenar adalah warga asing yang hanya menggunakan nama warga tempatan bagi mendapatkan lesen dan diberikan bayaran gaji pada setiap bulan kepada penama yang terlibat.
"Kesemua premis ini dipercayai telah menjalankan perniagaan lebih daripada dua tahun dan sering kali menukar modus operandi perniagaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Kita turut menyiasat kesemua pihak yang terlibat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.