KOTA BHARU -"Saya tak ada baju raya pun tak apa.” Itu luahan sayu seorang asnaf juga ibu kepada tiga cahaya mata dari Lundang di sini yang belum melakukan persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana kesempitan hidup.
Wan Kamariah Wan Mohd Nor, 52, memberitahu dia mengambil upah membantu iparnya menjahit baju kurung dengan pendapatan RM20 sepasang.
Bagaimanapun, dia tidak dapat menerima tempahan yang banyak kerana mata kanan yang rosak akibat penyakit ketumbuhan pada hidung dan mata sejak lahir.
"Adik-beradik sahaja yang upah saya jahit baju mereka. Orang ramai tak nak sebab saya jahit lambat kerana hanya gunakan mata sebelah kiri.
"Saya pandai jahit baju kurung sahaja dan tak pandai jahit ikut fesyen terkini. Sambutan raya kami kali ini pun ala kadar sahaja,” katanya sambil mengesat air mata.
Wan Kamariah ditemui pada Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri Petronas di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup.
Wan Kamariah berkata, suaminya, Mohd Yusoff Awi, 46, bekerja tidak menentu dan kadang-kala mengambil upah sebagai buruh dengan pendapatan RM70 sehari.
"Bulan puasa tidak banyak buat rumah lebih-lebih lagi dia cepat penat kerana menghidap kencing manis.
Kamariah turut mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) sindrom down iaitu Nur Bismillah Shahirah Mohd Yusoff, 14, yang menerima bantuan JKM RM150 sebulan.
"Nur Bismillah menerima sumbangan RM200, dapatlah beli baju raya.
"Anak sulung umur 15 tahun pula bekerja pada hari cuti sekolah sebagai pembantu gerai burger dan sudah membeli baju raya. Tinggal anak bongsu yang berusia 12 tahun belum ada apa-apa,” katanya.
Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Wan Kamariah di talian 014-3217300.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan kepada 1,350 keluarga asnaf di negeri Pantai Timur dengan keseluruhan bernilai RM270,000.
"Kenaikan harga barangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah terutama pada hari raya.
"Kami berharap agar sumbangan ini mampu meringankan beban mereka dan memeriahkan lagi sambutan Aidifitri nanti,” katanya.