SHAH ALAM - Pemimpin UMNO dan ahli parti itu dinasihatkan tidak terikut dengan sikap pihak lawan yang gemar membuat spekulasi, manipulasi dan persepsi dakwaan terhadap kluster kepimpinan parti berkenaan.
Bendahari UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, anggota parti perlu menghormati institusi presiden dan memelihara organisasi agar fokus kepada hala tuju untuk memperkukuh parti.
Iklan
Iklan
"Adalah amat wajar sekiranya semua anggota parti sepakat menolak spekulasi, manipulasi dan persepsi berkaitan kepimpinan UMNO.
"Kita perlu bangkit selepas melalui ujian getir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan juga pasca pemilihan parti maka sewajarnya perkara yang negatif tidak diangkat kembali,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Jelasnya, pemimpin atasan khususnya presiden telah menimbang dan meneliti serta mengambil kira keputusan yang dibuat secara holistik.
"Selama ini pun dalam parti tidak ada individu yang mendabik dada atau mengaku UMNO milik peribadi waima presiden.
"Ini kerana mereka akur dan arif bahawa institusi presiden perlu dihormati sebagai tampuk kepimpinan yang memegang amanah memastikan ia terus bersemarak dalam perjuangan,” katanya.