Sukan SEA: Semua kemudahan, venue sudah sedia

Iklan
Sarun (kanan) bersama Hannah menyertai larian obor sempena Sukan SEA Kemboja di Putrajaya pada Selasa. - Foto Bernama

KEMBOJA yakin semua kemudahan dan venuenya telah bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2023 di Phnom Penh bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Duta Khas Jawatankuasa Kebangsaan Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC), Hor Sarun berkata, ia termasuk perkampungan sukan yang boleh menempatkan hampir 10,000 atlet bagi temasya dwitahunan itu.

Iklan
Iklan

"Semuanya baik. Kami telah bersedia dan merasa bangga untuk menganjurkan Sukan SEA 2023," katanya kepada pemberita selepas Larian Obor Temasya Sukan SEA ke-32 di Putrajaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Sarun mempelawa rakyat Malaysia berkunjung ke negara itu untuk menyokong semua atlet di rantau ini memandangkan tiket bagi rakyat tempatan dan asing adalah percuma seperti yang diumumkan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen baru-baru ini.

Iklan

Beliau berkata, Malaysia adalah negara kelima menjadi tuan rumah larian obor itu dan selepas ini ia akan menuju ke Singapura selepas dibawa dari Vietnam, Filipina, Indonesia dan Timor Leste sejak 21 Mac lepas.

Terdahulu turut hadir Duta Besar Kemboja ke Malaysia Ouk Chandara; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin.

Iklan

Sementara itu, Hannah yang menyertai acara larian obor bersama 250 peserta sebelum itu, melahirkan keyakinan persiapan Kemboja sebagai tuan rumah berjalan lancar sebelum penganjuran temasya sukan itu buat pertama kalinya, bulan depan.

"Larian obor hari ini adalah simbolik kerana kami mengalu-alukan kedatangan delegasi Kemboja di Putrajaya," katanya. - Bernama