PETALING JAYA - Tindakan mengenakan caj melampau bagi perkhidmatan gunting rambut kepada pelacong asing seperti tular di media sosial sejak Isnin boleh mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah meminta pegawainya untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
Menurutnya, jika dakwaan tersebut benar, peniaga terbabit tidak terlepas daripada dikenakan tindakan tegas.
Ujarnya, KPDN dari semasa ke semasa sentiasa memberi teguran kepada peniaga untuk mematuhi dan memastikan servis yang diberikan kepada rakyat atau pelancong dari luar negara ditawarkan pada harga berpatutan
"Tindakan tersebut bukan hanya kaut untung melampau tetapi mencemarkan imej dan nama baik negara sebagai destinasi pelancongan yang sepatutnya menawarkan perkhidmatan terbaik dengan harga berpatutan," katanya ketika ditemui pada penyampaian Bakul Rahmah kepada 50 penghantar dan pemandu Grab di Axis Business Centre di sini pada Selasa.
Beliau diminta mengulas berkenaan isu tersebut yang tular di media sosial membabitkan pasangan pelancong dari England yang tidak berpuas hati dengan caj RM120 dikenakan ke atasnya.
Mereka mendakwa, telah bertanya dengan beberapa warga tempatan yang memberitahu caj memotong rambut biasanya tidak melebihi RM50.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kedai gunting rambut di Bukit Bintang yang dikendalikan oleh warga asing.