PUTRAJAYA –"Setiap detik dan pemikiran saya dihantui kejadian malang yang mengorbankan remaja itu dan saya akan bawanya hingga ke kubur,” kata Sam Ke Ting selepas dibebaskan atas kesalahan memandu secara melulu sehingga lapan remaja penunggang basikal lajak maut, pada 2017 lalu.
Kerani berusia 28 tahun itu berkata, peristiwa tersebut sentiasa bermain di fikirannya malah sering tertanya-tanya mengenai kehidupan serta masa depan keluarga remaja yang terkorban akibat kemalangan itu.
Sepanjang enam tahun kes dibicarakan, wanita itu berkata, sebarang kenyataannya tidak akan memberi ketenteraman kepada kehidupan keluarga mangsa.
Menurutnya, mereka pasti berkecamuk dengan pelbagai perasaan yang tidak patut dialami.
"Kata-kata saya tidak dapat membawa arwah kembali ke pangkuan keluarga, tetapi saya ingin sampaikan kepada keluarga mereka, bahawa saya turut memikul keperitan tragedi itu.
"Saya dengan suci hati memohon maaf kepada mereka walaupun saya tahu dan faham bahawa kemaafan itu berat untuk diterima,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman di sini.
Bagaimanapun, dia berkata, kemalangan tersebut tidak disengajakan.
Selain itu, Ke Ting turut mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan para hakim kerana mendengar pembelaannya dengan adil.
Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa melepas dan membebaskan Ke Ting atas kesalahan itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting selaku perayu.
Semasa membaca keputusan penghakiman, Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokuskan pada pemandu tapi bukan kepada kumpulan lajak basikal itu.
Dalam prosiding ini, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik hadir bagi mewakili Ke Ting manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.
Pada 18 Februari 2017, lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menunggang basikal lajak, maut dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.
Pada 28 Mac tahun sama, pemandu wanita itu tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret sama, atas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal.
Ke Ting ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.
Dalam kejadian itu, lapan remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Pada 28 Oktober 2019, dia dibebaskan oleh mahkamah itu namun pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan pemandu wanita itu membela diri atas pertuduhan berkenaan, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
10 Oktober tahun sama, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan melepas dan membebaskannya.
Sehari kemudian, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan itu.
Bagaimanapun pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret dan memerintahkan Ke Ting dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000.
Keesokkan harinya, peguam yang mewakili wanita itu, Muhammad Faizal Mokhtar memfailkan notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu.