KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 8,511 baju dan seluar disyaki berjenama tiruan bernilai RM250,000 dalam serbuan ke atas empat premis perniagaan di Jalan Kenanga di sini, 5 April lepas.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan pihaknya bersama-sama wakil pemilik cap dagangan dijalankan selepas hasil risikan selama dua minggu.
"Hasil serbuan, pasukan berkenaan menyita 8,511 helai baju dan seluar berjenama yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
"Siasatan mendapati kesemua premis itu dimiliki warga tempatan tetapi peniaga sebenar adalah warga Bangladesh yang menggunakan nama pemilik bagi mendapatkan lesen dan penama dengan dibayar sekitar RM3,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas Operasi Barang Tiruan di Stor Eksibit KPDN, Segambut, hari ini.
Beliau berkata, tiga pekerja asing ditahan bagi membantu siasatan manakala premis yang beroperasi sejak dua tahun lepas itu didapati sering menukar modus operandi perniagaan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ariffin berkata, kesemua premis itu juga didapati menjual barangan tersebut secara dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara selain disyaki menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di sekitar ibu negara, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kesemua pakaian itu disyaki bagi jualan sempena Aidilfitri dengan diperoleh pada harga kos RM10 hingga RM50 sehelai sebelum dijual pada harga borong RM20 hingga RM80 sehelai manakala peniaga runcit akan menjual pada harga RM40 hingga RM150 sehelai.
"Bekalan pakaian ini dipercayai dari Bangladesh. Jika dahulu bekalan tekstil ini sering diperoleh dari China atau Taiwan, kini trend telah berubah datang dari Bangladesh kerana kualiti yang dihasilkan hampir serupa barangan tulen," katanya.
Menurut Ariffin pihaknya akan menyiasat individu yang terlibat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - Bernama