PENGENDALI Perak FC, Datuk Lim Teong Kim sekali lagi mengharapkan penyokong untuk bersabar dalam usaha melihat pasukan dapat meraih kejayaan pada masa akan datang.
Menurutnya, Perak masih dalam proses untuk membentuk para pemain dan ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam sekelip mata.
"Saya minta peminat bola sepak Perak supaya bersabar. Saya tanam durian semalam, ia akan berbuah dalam tujuh tahun. Kalau kahwin, nak ada anak pun kena ambil masa juga.
"Filosofi kita adalah memberikan pemain muda untuk bermain dan mereka juga bermain dengan baik. Saya dulu pun muda juga bermain untuk kelab dan saya tahu situasi yang perlu dihadapi.
"Jika saya tak berikan mereka masa untuk bermain dengan pemikiran terbuka di mana mereka boleh buat kesilapan, jadi perkembangan mereka tak akan jadi, bola sepak semuanya tentang kesilapan," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.
Perak terus mencatatkan kekalahan dalam saingan Liga Super musim ini apabila tunduk 0-1 kepada Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Isnin.
Kekalahan kelima berturut-turut itu menyaksikan Perak kini berada di kedudukan ke-11 liga dengan lima mata.
Mengulas mengenai kekalahan tersebut, Teong Kim tidak gusar sebaliknya melihat pasukannya sudah bermain dengan baik menentang antara pasukan terbaik di Liga Super itu.
"Seperti malam ini, kita main bagus tetapi tak menang. Sudah tentu kita mahu menang dan Kuala Lumpur bukan pasukan yang calang-calang.
"Mereka ada beberapa import yang bermain dan bukan senang untuk datang ke sini untuk menang. Mereka juga ada pemain yang handal," katanya.