MUAR-"Saya tidak terima wang RM100,000 daripada pendakwah terkenal, Ebit Lew seperti yang didakwa pihak tertentu," kata Tien Ko Htut, 31.
Ko Thut yang juga bapa kepada empat beradik yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Sabak Awor di sini, kesal dengan tuduhan yang dilemparkan itu.
Dia dan isterinya, Nabila Sedu, 30, masih lagi bersedih dengan pemergian empat cahaya mata dalam tragedi kebakaran rumah pada 29 Mac lalu.
"Saya tak terima sejumlah wang seperti didakwa pihak tertentu. Kalau ada pihak boleh buktikan, tunjukkan.
"Kalau Ebit Lew bagi duit sejumlah itu dekat saya tunjuklah, kerana saya tidak pernah terima duit sebanyak itu," katanya pada malam Ahad.
"Saya bersedia dan tunjukkan bukti. Sebelum ini ada tuduhan yang dibuat kepada saya dan isteri kononnya saya sudah kaya... ada dapat duit diberikan RM100,000 dari pendakwah terkenal tersebut dan terus simpan di institusi kewangan.
"Kadang-kadang terfikir juga, kenapa orang yang tak kenal saya sanggup menabur fitnah.
Perlu tunjuk bukti dalam akaun bank saya. Pergilah cari periksa akaun bank saya, tiada masalah," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.49 malam 30 Mac lalu, empat beradik berusia empat hingga lapan tahun dijumpai terbaring dalam bilik air selepas rumah didiami mereka terbakar.
Tragedi itu, mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.
Pada 31 Mac lalu, Ebit Lew menerusi perkongsian di akaun media sosial mendedahkan wajah empat beradik terbabit dalam keadaan bersih tanpa kesan terbakar.